Aeon Big peroleh pembiayaan Islamik berjumlah RM150 juta daripada HSBC Amanah | DagangNews Skip to main content

Aeon Big peroleh pembiayaan Islamik berjumlah RM150 juta daripada HSBC Amanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 April - Aeon Big (M) Sdn Bhd memperoleh pembiayaan Islamik berjumlah RM150 juta daripada HSBC Amanah bagi membiayai modal kerja asas dan pengembangan projek patuh syariahnya.

 

Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata, pembiayaan itu penting bagi memudahkan rancangan pengembangan mereka.

 

Aeon Big merupakan sebahagian daripada Aeon Co Ltd (Japan) yang ketika ini memiliki 21 pasar raya di Malaysia dan merancang pembukaan cawangan terbaharu di Seremban pada 5 April 2024.

 

Pembiayaan terbaharu daripada HSBC Amanah itu akan menjadi pemacu utama operasi Aeon Big di negara ini.

 

HSBC akan terus bekerjasama dengan Aeon Big dan Aeon Co bagi memudahkan transaksi.

 

Pengarah Urusan Aeon Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, dengan pembiayaan yang disesuaikan, mereka bersedia untuk mempercepatkan trajektori pertumbuhan, pengembangan dan rancangan pengubahsuaian bagi menyampaikan nilai kepada pelanggan. 

 

"Semakin ramai pelanggan mencari rumusan kewangan yang fleksibel dan berskala untuk membantu mereka berkembang," katanya.

 

Ketua Perbankan Global HSBC Malaysia, Christina Cheah berkata, pembiayaan Islamik pertama untuk Aeon Big akan menyokong pertumbuhannya di Malaysia dan memberikan modal kerja untuk operasi syarikat selain membenarkan mereka memberi tumpuan kepada inisiatif strategik bagi mencapai cita-citanya.

 

"Keperluan untuk rumusan pembiayaan Islamik yang inovatif semakin berkembang dalam kalangan pelanggan domestik dan antarabangsa," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Amanah, Raja Amir Shah berkata, menerusi kerjasama rentas sempadan dengan Aeon Co, Aeon Big dan pejabat HSBC di Malaysia dan Jepun menunjukkan cara mere memanfaatkan rangkaian antarabangsa bagi menghubungkan pelanggan dengan peluang yang ditawarkan oleh pembiayaan Islamik.- DagangNews.com