Aeon Bank, Visa jalin kerjasama ubah landskap pembayaran digital di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Aeon Bank, Visa jalin kerjasama ubah landskap pembayaran digital di Malaysia

Raja Teh Mainunah (kiri) dan Ng Kong Boon (kanan).
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 6 Mei - AEON Bank, bank digital Islam pertama di Malaysia mengumumkan kerjasama strategik dengan Visa yang menandakan satu langkah penting untuk merevolusikan pengalaman pembayaran digital dan transaksi tanpa tunai bagi pengguna di negara ini.

 

Fasa awal kerjasama ini akan menyaksikan pelancaran Kad Debit-i AEON Bank x Visa dengan pelan untuk diperluaskan merangkumi pelbagai penyelesaian pembayaran digital. 

 

Penyelesaian ini direka khusus untuk memenuhi permintaan yang meningkat dalam kalangan pengguna Malaysia untuk pilihan perbankan digital yang selamat, boleh dipercayai dan menepati prinsip perbankan Syariah.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank (M) Berhad, Raja Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, AEON dan Visa berkongsi sejarah kerjasama yang berkesan.

 

"Oleh itu, AEON Bank sangat teruja untuk bergabung dengan Visa dan memanfaatkan keupayaan inovatif mereka untuk menyediakan penyelesaian perbankan yang selamat, mudah diakses, dan mesra pengguna untuk memenuhi keperluan pengguna Malaysia.

 

"Kerjasama ini akan membolehkan pelanggan menikmati pelbagai faedah melalui rangkaian pedagang dan rakan Visa yang luas, sambil membolehkan kami menawarkan penyelesaian yang patuh Syariah kepada rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat," jelasnya.

 

aeon bank

 

Sementara itu, Pengurus Negara Visa untuk Malaysia, Ng Kong Boon menekankan komitmen Visa untuk berkembang seiring dengan perubahan landskap pembayaran. 

 

"Industri pembayaran, permintaan pengguna, dan teknologi pembayaran sedang berkembang dengan lebih pantas daripada sebelumnya. 

 

"Kami sangat bersemangat untuk bekerjasama dengan AEON Bank, dan kerjasama strategik ini akan membolehkan kami menyesuaikan diri dengan landskap yang berkembang," katanya.

 

Untuk memperingati pelancaran ini, pengguna AEON Bank x Visa Debit Card-i berpeluang menikmati ganjaran menarik dan bonus pendaftaran semasa tempoh kempen.

 

AEON Bank adalah sebahagian daripada Kumpulan AEON. Sebagai bank digital Islam pertama di Malaysia, AEON Bank komited menyediakan perkhidmatan kewangan yang mudah diakses kepada semua. - DagangNews.com