Abdul Rahman lepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB pada 30 Jun 2024 | DagangNews Skip to main content

Abdul Rahman lepaskan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB pada 30 Jun 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 April - Datuk Abdul Rahman Ahmad akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group Holdings Bhd pada 30 Jun 2024 selepas berkhidmat dengan kumpulan itu selama empat tahun sejak 2020.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, pelan penggantiannya telah diaktifkan dengan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan baharu itu akan diumumkan sebaik sahaja kelulusan kawal selia diterima.

 

Pengerusi CIMB, Datuk Mohd Nasir Ahmad berkata, Abdul Rahman telah berkhidmat dengan cemerlang, memacu transformasi CIMB di bawah pelan strategik Forward 23+ selain memainkan peranan penting dalam meletakkan kumpulan itu pada kedudukan baik sebagai antara bank terkemuka ASEAN.

 

"Di bawah kepimpinan beliau, kumpulan ini mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam prestasi kewangan, operasi yang berdaya tahan serta mempercepatkan inisiatif digitalnya serta meningkatkan kemampanan serta menyemai budaya CIMB yang kukuh.

 

"Bagi pihak lembaga pengarah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Abdul Rahman atas segala sumbangannya kepada kumpulan dan kami mengucapkan selamat maju jaya dalam peranannya seterusnya," katanya.

 

Sementara itu, bagi memudahkan urusan peralihan itu, Mohd Nasir yang dijadualkan bersara pada Julai 2024 selepas tamat tempoh sembilan tahun sebagai Ahli Lembaga Pengarah kumpulan akan kekal sebagai pengerusi.

 

Pada masa sama, jawatan beliau akan ditetapkan semula sebagai pengarah bukan eksekutif berkuat kuasa 20 Julai ini selepas mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa kawal selia mengenai pembaharuan tempoh perkhidmatannya. - DagangNews.com