7-Eleven sah lepaskan pegangan ekuiti Caring Pharmacy kepada BIG Pharmacy | DagangNews Skip to main content

7-Eleven sah lepaskan pegangan ekuiti Caring Pharmacy kepada BIG Pharmacy

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad mengumumkan bahawa Convenience Shopping (Sabah) Sdn. Bhd. telah menerima tawaran daripada BIG Pharmacy Healthcare Sdn Bhd untuk mengambil alih keseluruhan 75% kepentingan ekuitinya dalam Caring Pharmacy Group Berhad dengan tawaran RM637.5 juta. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, tawaran itu merangkumi pengambilalihan semua anak syarikat dan syarikat bersekutu Caring yang memiliki dan megendalikan perniagaan farmasi runcit di bawah jenama Caring, Georgetown dan Wellings serta pembuatan selain pengedaran produk dalaman di Malaysia.

 

Tawaran itu juga merangkumi pengambilalihan harta intelek yang dimiliki Caring Group dan perniagaan Indonesia merangkumi semua jenama di bawah Caring Group.

 

"Bagaimanapun ia tidak termasuk perniagaan yang dikendalikan PT Era Caring Indonesia yang dimiliki sebanyak 50.1% oleh Caring Group menerusi syarikat kerjsama dan PT Era Farma Indonesia.

 

"Ahli Lembaga Pengarah pada 21 Julai bersetuju menerima tawaran itu, tertakluk kepada pelaksanaan perjanjian dengan Cadangan Pelupusan mengikut tawaran termasuk perjanjian jual beli dan mana-mana perjanjian sampingan lain yang mungkin diperlukan," katanya.

 

Terdahulu, terdapat ura-ura menyatakan bahawa 7-Eleven Malaysia akan melepaskan pegangan dalam Caring Pharmacy kepada BIG Pharmacy Group menerusi satu urus niaga.

 

Kumpulan itu berkata, cadangan pelupusan memberi peluang kepada syarikat untuk membuka peluang dan meraih pelaburannya dalam Caring Group.

 

Kumpulan itu dijangka mencatat keuntungan sekali sahaja daripada Cadangan Pelupusan dan dengan itu dijangka menambah baik aset bersih dan anak-anak syarikatnya.

 

"Menerusi pengambilalihan itu akan mengubah hala sumbernya untuk mengembangkan perniagaan kedai serbanekanya," katanya.

 

Bagaimanapun, antara risiko yang akan dihadapi termasuk kehilangan hasil dan sumbangan keuntungan daripada Caring Group pada masa hadapan.

 

"Kumpulan itu dijangka mencapai keuntungan pro forma daripada cadangan pelupusan itu.

 

"Cadangan pelupusan itu akan membolehkan mereka menggerakkan semula modal dan sumber untuk mengembangkan perniagaan kedai serbanekanya," katanya. - DagangNews.com