7-Eleven lupus 75% kepentingan dalam Caring Pharmacy berharga RM675 juta | DagangNews Skip to main content

7-Eleven lupus 75% kepentingan dalam Caring Pharmacy berharga RM675 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Sept - 7-Eleven Malaysia Holdings Berhad (SEM) menerusi anak syarikatnya, Convenience Shopping (Sabah) Sdn. Bhd. (CSSSB) akan melupuskan 75% kepentingan dalam Caring Pharmacy Group Berhad (Caring) pada harga RM675 juta.

 

SEM berkata, CSSSB telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan BIG Pharmacy bagi melupuskan keseluruhan pegangannya dalam Caring.

 

Motivasi Optima Sdn. Bhd. (MOSB) juga akan melupuskan 25% kepentingannya dalam Caring kepada BIG Pharmacy, tetapi ia bukan sebahagian daripada usaha korporat SEM, katanya.

 

"Syarikat dijangka mencatatkan anggaran keuntungan sekali sahaja daripada cadangan pelupusan sebanyak RM251.16 juta, sekali gus meningkatkan aset bersih sesaham syarikat kepada 0.34 sen daripada 0.12 sen pada 31 Disember 2022," kata kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Setelah selesai cadangan pelupusan itu, syarikat itu berkata ia akan dapat menumpukan sumbernya bagi mengembangkan segmen kedai serbaneka.

 

Bagaimanapun, SEM berkata, transaksi yang dicadangkan itu tidak termasuk pelupusan perniagaan di Indonesia yang dikendalikan oleh Caring Group.

 

Kumpulan itu berkata, sebahagian besar daripada hasil berjumlah RM675 juta iaitu 61.66% atau RM416.19 juta daripadanya akan digunakan untuk pengembangan kedai 7-CAFe, baik pulih kedai klasik sedia ada kepada format 7-CAFe dan pelaburan infrastruktur yang berkaitan dengan kedai serbaneka.

 

SEM berkata cadangan pelupusan itu dijangka selesai pada suku keempat 2023. - DagangNews.com