13 delegasi negara Afrika terima manfaat program TCTP 2023 anjuran SME Corp | DagangNews Skip to main content

13 delegasi negara Afrika terima manfaat program TCTP 2023 anjuran SME Corp

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - SME Corp Malaysia dengan kerjasama Kementerian Luar dan Japan International Cooperation Agency (JICA) menganjurkan Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) 2023, yang berjaya memanfaatkan 13 delegasi dari pelbagai negara Afrika. 

 

Program TCTP merupakan platform pertukaran pandangan dan perkongsian kejayaan bagi amalan terbaik mengenai pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia dan Jepun.

 

Semasa program latihan tersebut, para peserta juga berpeluang berinteraksi dengan lebih daripada 20 organisasi yang berkaitan di Malaysia. 

 

Penglibatan tersebut memberikan mereka pandangan dan amalan terbaik, terutamanya dalam bidang penting seperti dasar, rangka kerja dan inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada peserta program. 

 

Bidang tumpuan lain termasuk mempermudah akses pasaran, pengantarabangsaan PMKS, dan kepentingan aspek kewangan dalam meningkatkan pertumbuhan PMKS.

 

Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan dunia perniagaan melalui penganjuran lawatan ke Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) serta dua syarikat tempatan, iaitu Boom Grow dan Kumpulan Aerodyne.

 

Pengerusi SME Corp, Tan Sri Bernard Giluk Dompok ketika ucapan penutup program tersebut baru-baru ini berkata, pihaknya meraikan semangat yang sama, jalinan hubungan yang telah terjalin, dan pengetahuan yang dipelajari sepanjang usaha bersama dalam pembangunan.

 

 

smecorp
Tan Sri Bernard Giluk Dompok (tengah) menyampaikan anugerah peserta terbaik program TCTP 2023 kepada Nancy Theopolina Mupiya pada majlis penutup program tersebut, baru-baru ini. Turut kelihatan, Rizal Nainy (kiri).

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy pula berkata, program TCTP telah dilaksanakan pihaknya sejak 2011 dan sehingga kini, seramai 171 peserta dari 15 negara Afrika mendapat manfaat daripada program itu. 

 

Katanya, pada tahun ini, seramai 13 delegasi dari pelbagai negara Afrika iaitu Botswana, Burkina Faso, Ghana, Kenya, Mauritius, Mozambique, Nigeria, Somalia, Afrika Selatan, Uganda, Zambia, Zimbabwe dan Namibia dipilih.

 

"Dengan komitmen berterusan kami untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dan menerajui inisiatif PMKS global, SME Corp menjangkakan lebih banyak program yang memberikan impak sebegini bakal dilaksanakan pada masa akan datang," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, peserta dari Zambia, Musheke Kakuwa dianugerahkan 'Pelan Tindakan Terbaik' TCTP 2023 atas pembentangan pelan tindakan yang menyeluruh. Manakala, anugerah 'Peserta Terbaik' diberikan kepada Nancy Theopolina Mupiya dari Namibia. - DagangNews.com