AmInvestment unjur keuntungan TNB meningkat 16.2% pada FY23 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment unjur keuntungan TNB meningkat 16.2% pada FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Julai - AmInvestment menyemak turun nilai wajar Tenaga Nasional Bhd. kepada RM11.80 daripada RM12 sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'.

 

Firma itu menjangkakan keuntungan bersih TNB akan meningkat sebanyak 16.2% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) selepas merosot 7.5% pada FY22 disebabkan Cukai Makmur dan perbelanjaan susut nilai yang lebih tinggi. 

 

Oleh itu, ia mengurangkan keuntungan bersih TNB sebanyak 8% bagi FY22 dengan mengambil kira kadar cukai yang lebih tinggi sebanyak 30% berbanding 24% sebelum itu.

 

"Bagaimanapun, kebimbangan mengenai TNB ialah pendapatannya berjumlah RM14.1 bilion (setakat akhir Mac 2022). Daripada jumlah ini, kira-kira RM5.2 bilion adalah penghutang dengan kebanyakannya daripada sektor komersial dan perindustrian. 

 

"Setakat akhir Mac 2022, sektor komersial merangkumi 37% daripada penghutang TNB manakala perindustrian pula sebanyak 26%.

 

"Tetapi, apabila aktiviti ekonomi sektor komersial meningkat, kami percaya mereka akan membayar bil elektrik secara beransur-ansur," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Untuk menguruskan kekurangan modal kerja, TNB telah menyediakan kemudahan perbankan. Pada Jun 2022, TNB mengumpul RM4 bilion di bawah program nota jangka sederhana Islam RM10 bilion. 

 

Sebelum ini, TNB mengumpul RM1.5 bilion di bawah program yang sama untuk membiayai pembangunan projek janakuasa hidroelektrik Nenggiri 300MW bernilai RM5 bilion di Kelantan.

 

Sementara itu, menurut AmInvestment, TNB telah mempelbagaikan senarai pembekal bagi memastikan rizab arang batu mencukupi dan mengurangkan risiko Indonesia mengharamkan semula eksport arang batu yang pernah dikuatkuasakan pada Januari 2022.

 

"Selain Indonesia, TNB juga kini membeli arang batu dari Australia dan Afrika Selatan. Kebiasaannya, TNB akan menyimpan bekalan arang batu dan gas selama sebulan," tambahnya. 

 

Firma itu turut menjangkakan jumlah jualan elektrik akan meningkat 1.7% di Semenanjung Malaysia sepanjang FY22.

 

"Walaupun, jualan elektrik berkembang 4% pada suku pertama, tetapi permintaan elektrik mungkin lebih perlahan pada separuh kedua. 

 

"Ini kerana sektor perindustrian (petrokimia, elektrikal dan kejuruteraan serta besi dan keluli) dijangka terjejas dengan kelembapan pertumbuhan ekonomi global pada separuh kedua," jelasnya.

 

Setakat 11.21 pagi, harga saham TNB menokok 1 sen atau 0.13% kepada RM7.90 dengan 578,400 saham diniagakan. - DagangNews.com