Widad beri tumpuan kepada IFM sebagai pemacu pertumbuhan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Widad beri tumpuan kepada IFM sebagai pemacu pertumbuhan

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Julai - Pakar pengurusan fasiliti pembinaan dan bersepadu (IFM), Widad Group Bhd. optimis akan terus mengukuhkan kedudukannya bagi tahun kewangan 2022 (FY22), disokong nilai kontrak semasanya yang telah mencecah kira-kira RM1.6 bilion.

 

Pengarah Urusan Widad, Datuk Dr. Mohd. Rizal Mohd. Jaafar berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 52% atau RM832 juta disumbangkan oleh perniagaan dan konsesi IFM manakala sektor pembinaan menyumbang baki RM774 juta. 

 

Katanya, nilai kontrak itu akan memberi pendapatan kepada kumpulan bagi tempoh tiga hingga lima tahun akan datang menerusi segmen pembinaan manakala sehingga 12 tahun untuk IFM dan segmen konsesi.

 

“Memandangkan aktiviti ekonomi di Malaysia dijangka terus pulih dengan unjuran pertumbuhan 11.5% dalam sektor pembinaan, kumpulan yakin dapat meningkatkan prestasinya secara berterusan dan mengembangkan lagi perniagaan menerusi tender dan pemerolehan perniagaan strategik pada FY22.

 

"Kami juga menjangkakan lebih banyak projek dalam pasaran akan dibuka untuk tender, dan strategi kami adalah untuk menambah nilai kontrak semasa kami pada setiap bulan merangkumi IFM dan projek pembinaan daripada sektor swasta dan awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Mohd. Rizal Mohd. Jaafar
Mohd. Rizal Mohd. Jaafar

 

 

Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM6.41 juta selepas meraih hasil sebanyak RM52.04 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, yang merupakan hasil tertinggi pernah dicapai sejak terhentinya aktiviti ekonomi akibat pandemik COVID-19. 

 

Prestasi kukuh juga ditunjukkan dalam garis asas, dengan keuntungan selepas cukai (PAT) yang melonjak hampir 7 kali ganda sehingga RM6.32 juta daripada tempoh yang sama sebelumnya seiring dengan pemulihan ekonomi dan margin PAT 2 digit.

 

Sumbangan sektor pembinaan pada suku pertama meningkat dengan ketara daripada RM5.9 juta kepada RM24.9 juta pada suku pertama 2022. 

 

Selain itu, Widad juga berkembang lebih jauh ke dalam segmen konsesi pada 2021 dan mencapai pendapatan RM2.9 juta pada FY21. Pada suku pertama FY22 sahaja, segmen ini memperoleh RM2.5 juta hasil.

 

Untuk tahun ini, Mohd. Rizal berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan IFM, pembinaan dan syarikat konsesinya.
 

Salah satu langkah terbaru kumpulan ialah cadangan pengambilalihan Palm Shore Holdings Sdn Bhd (PSHSB) pada harga RM35 juta. PSSHB merupakan memegang konsesi Kem Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia. 

 

"Pemerolehan yang dicadangkan akan mempelbagaikan perkhidmatan IFM dengan menawarkan pangkalan pelanggan untuk memasukkan pelanggan pertahanan," katanya.

 

Ketika ini Widad memiliki kunci kira-kira yang kukuh dan aset yang besar sebanyak RM922 juta. Ia juga berada dalam kedudukan tunai yang mantap dengan RM180 juta daripada jumlah tunai dan setara tunai, yang mana menunjukkan keupayaan untuk mengekalkan perniagaan semasa dan pengembangan perniagaan masa depan syarikat. - DagangNews.com