SPRM digesa segerakan siasatan LCS, bawa individu bertanggungjawab ke muka pengadilan - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

SPRM digesa segerakan siasatan LCS, bawa individu bertanggungjawab ke muka pengadilan - Perdana Menteri

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyegerakan siasatan dan sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara hendaklah membuat pendakwaan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan, tegas Perdana Menteri. 

 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan memandang serius isu berkenaan yang sedang dalam siasatan SPRM dan perkara itu dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan hari ini.

 

"Saya telah memanggil Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki selepas mesyuarat ini untuk segera bertindak selaras dengan keputusan mesyuarat.

 

"Pada masa sama, mesyuarat membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

 

 

Menurut beliau, Jemaah Menteri juga mencadangkan supaya Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan (declassify)

 

Namun, jelasnya, proses berkenaan perlu mendapat nasihat dan pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

 

"Keputusan Jemaah Menteri hari ini tidak akan menggangu Proses Mobilisasi di bawah Pelan Pemulihan LCS yang diputuskan Jemaah Menteri pada 20 April 2022," tambahnya.

 

Ismail Sabri sebaliknya berkata, kerajaan komited untuk meneruskan projek ini atas kepentingan pertahanan negara selaras dengan keperluan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

"Saya bagi pihak kerajaan, memberi jaminan bahawa siasatan berhubung isu ini dijalankan dengan telus dan kerajaan tidak akan melindungi sesiapapun yang terlibat," tegasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Fakta-fakta skandal kapal tempur pesisir pantai LCS untuk anda faham

 

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

 

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

 

Semalam, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mendakwa wujud perancangan awal untuk menyembunyikan pembabitan subkontraktor dari Perancis, DCNS, syarikat yang sering dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam projek pembinaan LCS. 

 

Dakwanya lagi, DCNS menggunakan tiga lapis syarikat bagi projek pembinaan enam kapal perang itu, yang menyebabkan kosnya meningkat tiga kali ganda. - DagangNews.com