Fakta-fakta Skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) untuk anda faham | DagangNews Skip to main content

Fakta-fakta Skandal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) untuk anda faham

Dermaga Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) di Lumut, Perak. - Gambar BNS

Merrepak oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan beberapa pegawai kanan syarikat tertentu pada Januari 2022, atas dakwaan terlibat di dalam skandal projek Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) bernilai RM9 bilion, yang kontraknya dimiliki oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

 

Difahamkan penahanan tersebut adalah berdasarkan siasatan ke atas laporan daripada syarikat induk BNS iaitu Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC) pada September 2021.

 

SPRM menggunakan maklumat yang diserahkan oleh BHIC iaitu audit forensik serba-serbi projek tersebut yang diarahkan oleh Lembaga Pengarah pada Februari 2020.

 

Satu lagi laporan SPRM telah dibuat oleh Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM), Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid, pada 21 November tahun lalu.

 

Bagi memudahkan pemahaman, kita susun butiran kes seperti berikut:


1.    Projek perolehan LCS diberi kepada BNS oleh Kementerian Kewangan pada 2011 iaitu bagi membina enam kapal tempur untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

2.    BNS adalah entiti yang dikuasai 68.84% oleh Boustead Holdings. Sebanyak 20.8% kepentingan lagi dimiliki BHIC di dalam BNS menerusi subsidiri penuhnya, Perstim Industries Sdn Bhd. Baki ekuiti dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), manakala Kementerian Pertahanan memegang satu saham.

 

3.    Laporan media ada menyebut kapal tempur pertama berjaya diserahkan pada April 2019, tetapi tiada satu pun berjaya disiapkan walaupun kerajaan sudah membayar syarikat itu sebanyak RM6 bilion. Asalnya tarikh penyerahan pertama ialah pada 2017.

 

4.    Pada September 2020, bekas menteri pertahanan Liew Chin Tong memberitahu Dewan Negara bahawa jawatankuasa siasatan khas Putrajaya mengenai pemerolehan, tadbir urus dan kewangan telah mendapati RM1 bilion daripada RM5.94 bilion yang dibayar bagi kapal perang itu, gagal dikesan. 

 

5.    Pengetahuan umum mengenai projek bermasalah ini timbul daripada Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 yang diterbitkan pada 2019.

 

 

LCS

 

 

6.    Ingat ya, tahun 2019 negara diperintah oleh Kerajaan Pakatan Harapan, yang mengarahkan projek LCS itu diberhentikan dan siasatan dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah.

 

7.    Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga sudah menjalankan lapan prosiding membabitkan projek LCS sehingga Januari 2022. 

 

8.    Pada Februari 2020, Kerajaan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan negara dengan Menteri Kanan Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah menegaskan bahawa Jemaah Menteri membuat keputusan meneruskan projek LCS, demi kepentingan TLDM. 

 

9.    Terdapat tiga pilihan: 
i) siapkan sekurang-kurangnya dua kapal oleh BNS dengan baki siling kontrak, 
ii) tamatkan kontrak BNS sama sekali, atau 
iii) lantik Naval Group France sebagai kontraktor penyelamat untuk menyiapkan pembinaan sekurang-kurangnya 2 LCS. 

 

10.     Jemaah Menteri mendapati lebih banyak kebaikan serta keuntungan diperoleh kerajaan serta rakyat, dengan meneruskan projek itu.

 

11.    "Kerajaan sudah membelanjakan RM6 bilion dan jika ia dihentikan, wang ini mungkin tidak dapat dikembalikan sepenuhnya, malah kerajaan perlu mengeluarkan wang lebih banyak untuk melantik kontraktor baharu.

 

12.     Semasa pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri pula sebagai Perdana Menteri dan pada November 2021, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu Dewan Rakyat bahawa kapal LCS yang pertama akan diterima oleh TLDM pada tahun 2025.

 

13.     Dalam sidang Dewan Rakyat pada 15 November 2021, Datuk Seri Hishammuddin telah menyatakan bahawa kelewatan projek ini adalah berpunca daripada pihak pengeluaran produk tulen (OEM) yang memberhentikan kerja susulan masalah kewangan.

 

14.     ‘’Proses perolehan itu mengalami kelewatan 39.52% atau 43 bulan, menyebabkan pembayaran kepada OEM tidak dibuat mengikut jadual selain kegagalan kontraktor menyiapkan reka bentuk dalam tempoh ditetapkan serta lewat memuktamadkan perolehan sebahagian peralatan serta kualiti kerja yang tidak mengikut spesifikasi.

 

15.     Hishammuddin memberi jaminan bahawa tiada apa yang disembunyikan oleh Kerajaan.

 

TERBAHARU 11 OGOS 2022: Selepas LCS, Kini status kapal OPV APMM pula jadi tanda tanya


 

boustead

 

 

Industri Senjata Sangat Menguntungkan

Bagi anda yang kurang arif perniagaan di dalam industri peralatan perang, berjual beli senapang ini sangat-sangat menguntungkan. Ini antara sebab kerajaan sanggup mengeluarkan dana besar untuk mengadakan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19). Industri persenjataan adalah antara industri berbilion ringgit.

 

Jualan senjata dan perkhidmatan ketenteraan oleh 100 syarikat senjata terbesar di dunia, mencecah rekod AS$531 bilion pada 2020, pertambahan 1.3% berbanding tahun 2019, menurut kajian Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI).

 

Tiada apa yang jelik atau aneh. Kita bukannya menjual uranium atau memasang komponen bom nuklear untuk diseludup senyap-senyap ke Pakistan. 

 

Industri senjata kita lebih kepada memenuhi keperluan pasukan bersenjata negara, terutamanya dan dalam kes ini, Tentera Laut DiRaja Malaysia memerlukan kapal perang baharu, serba canggih yang boleh mengesan dan menembak penceroboh dari jarak jauh.

 

Yang masalahnya ialah perdagangan senjata ini tiada peraturan khusus. Tiada suruhanjaya boleh campur tangan. Baik MyCC, apalagi Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

 

Tidak juga sesiapa senang-senang boleh bangun pagi ini dan tergerak hati untuk menceburi perdagangan senjata. Anda kena ada lesen khas, malah watikah khas (dalam bahasa B40, kabel dasar laut).

 

 

boustead

 

Semua Transaksi Penuh Kerahsiaan

Pernahkah kenal sesiapa yang mengaku dirinya penjual senapang? ‘’Oh rumah atas bukit itu kepunyaan tauke peluru berpandu’’. Yang sibuk mengaku dirinya kaya-raya datang dari industri lain...

 

Paling dekat mungkin tauke agensi kawalan keselamatan tetapi dia yang kena beli senjata untuk pak guard. Bukan jual.

 

Ini kerana perdagangan senjata adalah rahsia. Dan kerana sifatnya yang rahsia itulah `orang tengah’, boleh dikatakan pekerjaan idaman ramai khususnya, yang memiliki watikah khas. Kita bukan cerita gaji bulan. Orang tengah jual telur pun tak dibayar gaji bulan. 

 

Gaji dia berasaskan komisen daripada berapa harga terakhir persetujuan transaksi itu dimuktamadkan. Senapang patah, menyamai harga moto kapcai. Tetapi dia bukan beli selaras sahaja. 

 

Katakanlah harga selaras senapang RM1,000 dan dibelinya 50,000 laras. Harga keseluruhan RM50 juta. Komisen 10% berapa? Tapi itu tidak penting. Yang penting ditanya siapa bayar komisen? Dan duit komisen itu kemudiannya dibahagi kepada siapa pula?

 

Dan satu lagi soalan ialah bab mana dalam kes pembelian kapal selam Scorpeon kita tak reti-reti belajar lagi? 

 

 

boustead

 

 

Enam Perkara Kita Harap Boleh Dibuat:


1.    Bolehkah kita telus dalam perdagangan senjata ini? Selama ini diletak di bawah Akta Rahsia Rasmi. Cubalah cari cara supaya wujud ketelusan. Nak sorok pun, bukan boleh lama. Ada saja bocor nanti di media sosial.

 

2.    Bolehkah `orang tengah’ ditiadakan? Beranikah?

 

3.    Industri ini `is a very lucrative business’. Kita perlu melakukan audit forensik juga kepada sistem pemerolehan persenjataan negara. Kalau selamanya berahsia, susahlah hendak kesan penyelewengan.

 

4.    Datuk Seri Hishammuddin kena lebih bertegas. Kata siap 2025, kali ini biarlah benar-benar siap. Sebenarnya, kena ada pemantauan di dermaga. Menteri kena wajibkan pegawai kanan kementerian lawat tapak projek tiap bulan, sama macam pembinaan KLIA dulu-dulu. Lagipun, Lumut tak jauh.

 

 

hishammuddin hussein

 

 

5.    Kerajaan juga perlu beri perhatian kepada implikasi kewangan jika projek ini tidak teruskan.

a) Siapa yang akan rugi?

b) Kapal tak dapat, bayaran pampasan hangus atau kalau dapat bayaran pun lama lagi?

c) Berapa orang akan hilang kerja, berapa syarikat yang bankrap?

d) Apa kesan pada kebajikan warga ATM?

e) Fikirkan dengan mendalam, buat pertimbangan rasional dan analisis kos dan manfaat projek ini.

Sudah pasti lebih elok terus dan dipantau ketat daripada dibiar terbengkalai dan duit lesap.

 

6.    Semua perkara di atas memerlukan kesungguhan Putrajaya. Datuk Seri Ismail Sabri yang pernah menjadi Menteri Pertahanan sememangnya arif terhadap skandal ini.

 

 

PM

 

 

Selain memastikan kapal perang itu siap mengikut jadual demi pertahanan dan kedaulatan negara, Perdana Menteri juga wajar memberi keyakinan kepada rakyat bahawa mereka yang terbabit di dalam skandal LCS ini akan dibawa ke muka pengadilan, dari sekecil-kecil ikan bilis hingga jerung. Tiada seorang boleh terlepas.

 

ARTIKEL TERKINI 10 OGOS 2022: SPRM digesa segerakan siasatan LCS, bawa individu bertanggungjawab ke muka pengadilan - Perdana Menteri

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Lancang Kuning oleh Jamal Abdillah berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.