KUALA LUMPUR 27 Mei - Dagang NeXchange Bhd. (DNeX) merekodkan hasil sebanyak RM382.6 juta pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2022, disumbangkan terutamanya menerusi segmen teknologi baharu.
Ia menyaksikan SilTerra Malaysia Sdn. Bhd. muncul penyumbang terbesar kepada segmen tersebut dengan pendapatan berjumlah RM232.1 juta, merangkumi 60.7% daripada jumlah hasil kumpulan.
Selain itu, segmen tenaga menyumbang hasil sebanyak RM102.9 juta atau 26.9% manakala segmen teknologi maklumat (IT) pula berjumlah RM47.6 juta atau 12.4%.
Bagaimanapun, tiada perbandingan tahun ke tahun kerana tahun kewangan bertukar dari 31 Disember kepada 30 Jun.
Bagi perbandingan suku ke suku, pendapatan kumpulan meningkat 8.3% berbanding RM353.3 juta pada suku kedua berakhir 31 Disember 2021 manakala untung selepas cukai (PAT) meningkat 19.9% kepada RM77.8 juta daripada RM64.9 juta.
Peningkatan ini dipacu terutama menerusi prestasi kewangan yang lebih baik bagi segmen teknologi dan tenaga berikutan kenaikan jualan wafer semikonduktor serta harga jualan purata (ASP) wafer dan minyak mentah yang lebih tinggi.
Untuk tempoh 9 bulan berakhir 31 Mac 2022, DNex merekodkan pendapatan dan PAT masing-masing sebanyak RM1.01 bilion dan RM444.2 juta.
PAT kumpulan turut mengambil kira kesan keuntungan sekali sahaja daripada gabungan perniagaan ke atas pemerolehan SilTerra berjumlah RM264.5 juta pada suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22).

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, kumpulan merekodkan prestasi kewangan yang kukuh pada suku ketiga FY22 di sebalik ketidaktentuan geopolitik yang menjejaskan pasaran global.
Katanya, ia adalah hasil daripada daya tahan kumpulan dan usaha tanpa henti untuk memberi tumpuan kepada strategi yang boleh meningkatkan prestasi keuntungan bersih.
"Kami yakin SilTerra akan terus mendapat manfaat daripada peningkatan industri semikonduktor global, disokong beberapa perjanjian bekalan wafer dalam jangka masa panjang dan peralihan dalam campuran produk dalam teknologi baharu yang cenderung kepada pusat data, rangkaian 5G dan aplikasi sains hayat.
"Di samping itu, pengembangan yang dirancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran tahunan SilTerra sebanyak 10% menjelang awal 2023 akan diterjemahkan kepada skala ekonomi yang lebih baik, dengan peningkatan berterusan dalam kos pembuatan," katanya.
Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Mac 2022, DNeX menjana aliran tunai bersih yang kukuh daripada aktiviti operasi berjumlah RM551.1 juta.
Imbangan tunai kumpulan juga mantap dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM1.05 bilion, melebihi jumlah pinjaman sebanyak RM305.2 juta setakat 31 Mac 2022. - DagangNews.com








