Segmen pembinaan, hartanah lonjak untung bersih Gamuda kepada RM221.49 juta pada Q3 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen pembinaan, hartanah lonjak untung bersih Gamuda kepada RM221.49 juta pada Q3

KUALA LUMPUR 29 Jun - Untung bersih Gamuda Bhd melonjak 56% kepada RM221.49 juta bagi suku ketiga (Q3) berakhir 30 April 2022 daripada RM141.89 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Keuntungan bersih yang amat memberangsangkan itu disumbangkan oleh prestasi keuntungan yang lebih baik daripada bahagian pembinaan dan hartanah, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Pendapatan bagi tempoh itu pula meningkat 22% kepada RM1.18 bilion daripada RM971.18 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Keuntungan bersih bagi segmen pembinaan melonjak 193% kepada RM126.75 juta, manakala bahagian pembinaan merekodkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 20% kepada RM62.47 juta.

 

Bagi tempoh kumulatif 9 bulan berakhir 30 April 2022, untung bersih berkembang 47% kepada RM550.98 juta daripada RM375.44 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 22% kepada RM3.22 bilion daripada RM2.63 bilion.

 

Projek luar negara kekal menjadi penyumbang terbesar jualan terutama menerusi pasaran Vietnam dan Singapura yang menyumbang 53% daripada jualan hartanah. 

 

Menurut Gamuda, prestasi bagi tahun kewangan 2022 dijangka didorong oleh jualan hartanah dan kemajuan berterusan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan 2).

 

"Daya tahan syarikat disokong oleh nilai perolehan kontrak pembinaan, yang meningkat kepada RM12.4 bilion, susulan kejayaan kami menerusi bidaan bersama untuk Projek Pintasan Coffs Harbour bernilai AUD$1.35 bilion (RM1.09 bilion) di Australia dan jualan hartanah belum dibilkan berjumlah RM5.4 bilion," jelasnya. - DagangNews.com