Scomi Energy dapat kelulusan pemegang saham jual perniagaan perkhidmatan lapangan minyak RM21 juta | DagangNews Skip to main content

Scomi Energy dapat kelulusan pemegang saham jual perniagaan perkhidmatan lapangan minyak RM21 juta

Scomi Energy Services Bhd mengadakan mesyuarat agung luarbiasa pada 8 Ogos 2022.

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pemegang saham Scomi Energy Services Bhd (SESB) meluluskan penjualan perniagaan perkhidmatan lapangan minyak syarikat itu dengan nilai RM21 juta secara tunai pada mesyuarat agung luar biasa yang diadakan Isnin.

 

Penjualan yang diluluskan itu terdiri daripada 100% kepentingan ekuiti dalam Scomi Oilfield Ltd bersama sembilan anak syarikatnya dan 48% kepentingan ekuiti dalam Scomi KMC Sdn Bhd kepada Cahya Mata Oiltools Sdn Bhd.

 

“Pemegang saham turut meluluskan penjualan oleh Scomi Oiltools Sdn Bhd, anak syarikat SESB, untuk kepentingan ekuitinya dalam Scomi KMC Sdn Bhd, Scomi Oiltools Gulf WLL, hartanahnya di Dataran Prima dan inventori serta peralatannya kepada Oiltools International Sdn Bhd,” menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif SESB Amirul Baharom berkata, SESB telah diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan (PN) 17 oleh Bursa Malaysia Securities Bhd sejak 31 Oktober 2019 dan syarikat dikehendaki untuk  mengemukakan pelan penstrukturan semula bagi menarik balik status PN17 menjelang 30 November 2022.

 

“Penjualan perniagaan perkhidmatan lapangan minyak ini adalah sebahagian daripada pemulihan SESB sejajar dengan pembangunan pelan penstrukturan semulanya,” katanya.

 

Sejak berada dalam status PN17, SESB telah melaksanakan beberapa inisiatif ke arah pemulihan syarikat, termasuk pengurusan perundangan, yang merupakan mekanisme pemulihan korporat yang diberikan kepada syarikat yang mengalami masalah kewangan.

 

SESB juga telah menyelesaikan penjualan perniagaan marinnya, PT Rig Tenders Indonesia, sebagai perintis kepada pelan penstrukturan semula PN17. - DagangNews.com