Sarung tangan getah Mah Sing dikeluarkan April ini | DagangNews Skip to main content

Sarung tangan getah Mah Sing dikeluarkan April ini

Mah Sing Group Berhad (Mah Sing)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Kilang pembuatan sarung tangan getah Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) yang terletak di Kapar, Klang kini di landasan yang tepat untuk pengeluaran pertama produk berkenaan pada April nanti.

 

Mah Sing berkata, pengeluaran tersebut dijangka memberi sumbangan yang positif kepada prestasi kewangan kumpulan bermula suku kedua 2021.

 

"Banyak kerja-kerja sivil telah disiapkan, bahagian dalaman kilang dilengkapi dengan makanik dan elektrik (M&E), perabot dan peralatan.

 

"Sebanyak 6 barisan pengeluaran pertama akan beroperasi pada suku kedua 2021, diikuti oleh 6 barisan pengeluaran lain yang dijangka siap pada suku ketiga 2021.

 

"12 barisan pengeluaran ini adalah pada Fasa 1 kumpulan yang mampu mengeluarkan kapasiti maksimum hingga 3.68 bilion sarung tangan setahun dengan kelajuan 38,000 keping sarung tangan bagi setiap barisan pengeluaran pada setiap jam," jelas Mah Sing.

 

Laporan Hong Leong Investment Bank (HLIB) baru-baru ini memberitahu, permintaan produk sarung tangan getah dan peningkatan purata harga jualan (ASP) dipacu oleh kekerapan saringan dan pelancaran vaksin.

 

Sementara itu, MIDF Research dalam nota kajian berkaitan eksport negara memaklumkan, industri sarung tangan getah dilihat terus berpeluang untuk mendominasi pertumbuhan eksport negara pada 2021.

 

Ia dinilai kepada permintaan produk yang kekal tinggi pada masa akan datang.

 

Ujar nota kajian itu, pemberian vaksin turut menjadi faktor kepada permintaan sarung tangan getah.

 

Hingga 16 Februari baru-baru ini, kira-kira 94.6 juta orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

 

Jumlah tersebut bagaimanapun hanya sekitar 1.2% daripada jumlah populasi dunia yang dianggarkan sebanyak 7.8 bilion.

 

Perkara itu secara tidak langsung membuka peluang kepada permintaan sarung tangan yang lebih tinggi sekiranya semua manusia menerima vaksin. - DagangNews.com