GUH Holdings terima subkontrak RM69.5 juta daripada Gamuda bagi kerja-kerja elektrikal, mekanikal projek skim bekalan air Sungai Rasau | DagangNews Skip to main content

GUH Holdings terima subkontrak RM69.5 juta daripada Gamuda bagi kerja-kerja elektrikal, mekanikal projek skim bekalan air Sungai Rasau

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 April - GUH Holdings Bhd menerusi Teknoserv Engineering Sdn Bhd menerima subkontrak bernilai RM69.5 juta daripada Gamuda M&E Sdn Bhd bagi kerja-kerja elektrikal dan mekanikal bagi cadangan projek skim bekalan air Sungai Rasau (peringkat 1), Selangor.

 

Menerusi kontrak itu, kumpulan itu akan membekal, menghantar, memasang, menguji dan mentauliah dan menyelenggara proses mekanikal dan elektrikal, sistem pengudaraan permukaan, sistem campuran air serta sistem kawalan alga untuk loji pengepaman air mentah. 

 

"Kerja-kerja subkontrak itu dijangka siap sepenuhnya pada 30 Jun 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Subkontrak itu tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan struktur pegangan saham kumpulan.

 

Ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham GUH bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya sehingga subkontrak itu selesai.

 

Kejayaan subkontrak itu mungkin dipengaruhi pelbagai faktor risiko seperi pelaksanaan, keadaan cuaca dan sebarang kesan operasi serta komersial yang disebabkan oleh keadaan politik dan ketidaktentuan ekonomi di peringkat domestik dan global.

 

Tanpa mengambil kira faktor risiko, GUH telah mencipta rekod prestasi cemerlang dalam melaksanakan projek yang serupa. - DagangNews.com