Duopharma dapat kontrak bekalan perubatan daripada Pharmaniaga Logistics bernilai RM578 juta | DagangNews Skip to main content

Duopharma dapat kontrak bekalan perubatan daripada Pharmaniaga Logistics bernilai RM578 juta

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 April - Duopharma Biotech Berhad menerusi dua anak syarikatnya telah menerima 11 surat tawaran daripada Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd. untuk membekalkan produk farmaseutikal dan/atau bukan farmaseutikal ke kemudahan Kerajaan Malaysia daripada Pharmaniaga Logistics Sdn. Bhd.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, Duopharma berkata, jumlah keseluruhan produk secara agregat yang akan dibekalkan di bawah semua kontrak tersebut ialah 86 melibatkan anggaran nilai agregat sebanyak RM578.09 juta.

 

Kata syarikat farmaseutikal itu, Duopharma (M) Sendirian Berhad (DMSB) telah menerima tujuh surat tawaran manakala Duopharma Manufacturing telah menerima empat surat tawaran.

 

"Semua kontrak hendaklah kekal sah dan mengikat sehingga 31 Disember 2026 atau tarikh lain yang diarahkan oleh Kerajaan Malaysia," katanya hari ini.

 

Pharmaniaga Berhad yang disenaraikan di bawah kategori Nota Amalan 17 (PN17) pada Januari lalu memaklumkan  memeterai perjanjian konsesi dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perkhidmatan bekalan perubatan selama tempoh tujuh tahun.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Syarikat berstatus PN17, Pharmaniaga meterai perjanjian konsesi 7 tahun dengan KKM, nilai tidak didedahkan

 

Dalam makluman kepada bursa 4 Januari 2024 itu, Pharmaniaga berkata, perjanjian antara KKM dan Pharmaniaga Logistics itu berkuat kuasa secara retrospektif dari 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2030, tertakluk kepada penamatan lebih awal.

 

Nilai kontrak tidak didedahkan kerana Pharmaniaga menyatakan bahawa maklumat di bawah perjanjian berkenaan perlu dirahsiakan sepenuhnya.

 

pharm

 

Sementara itu, menurut pemakluman Duopharma hari ini, kontrak berkenaan menetapkan harga produk hendaklah ditentukan sepenuhnya oleh Kerajaan Malaysia.

 

"Harga untuk produk yang ditetapkan dalam Perjanjian Pembekalan adalah tetap dan hendaklah termasuk semua cukai, taksiran, duti, caj, levi dan bayaran yang dikenakan berkaitan dengan pembekalan dan penghantaran produk kepada pelanggan (Pharmaniaga Logistics). 

 

"Pharmaniaga Logistics (pelanggan) hendaklah, jika berkenaan, membayar cukai jualan dan/atau cukai perkhidmatan kepada pembekal masing-masing sebagai tambahan kepada harga produk," jelasnya.

 

Kontrak tersebut adalah dalam urusan perniagaan biasa kumpulan syarikat Duopharma Biotech Berhad dan akan membolehkan pembekal membekalkan produk kepada Pelanggan Sektor Awam iaitu Kerajaan Malaysia melalui Pharmaniaga Logistics. 

 

"Kontrak dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan Syarikat sehingga tarikh tamat kontrak," ujar kenyataan itu.- DagangNews.com