Ras Adiba gariskan 16 permintaan OKU kepada Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Ras Adiba gariskan 16 permintaan OKU kepada Perdana Menteri


KUALA LUMPUR 6 Sept - Ahli Dewan Negara mewakili Orang Kurang Upaya, Senator Datuk Ras Adiba Radzi menggariskan 16 perkara yang berkaitan OKU untuk dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ras Adiba yang juga Pengerusi Bernama, berharap agar kerajaan dapat melipatgandakan usaha, dalam memperkasakan komuniti OKU di Malaysia seiring dengan matlamat Perdana Menteri yang mahu setiap menteri mencapai KPI dalam 100 hari.

 

Menurutnya, sehingga 30 Jun 2021, hanya 580,633 OKU telah mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tetapi menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dianggarkan seramai 15% populasi sesebuah negara adalah OKU.

 

''Justeru, saya berharap agar kerajaan terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM) menyegerakan proses pendaftaran OKU yang masih belum berdaftar,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sehubungan dengan KPI 100 hari yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, Ras Adiba mencadangkan dan menggesa pihak kerajaan untuk melaksanakan perkara-perkara berikut:


1. Segerakan pindaan Akta OKU 2008 dengan memasukkan elemen penguatkuasaan.

2. Merealisasikan penaiktarafan Jabatan Pembangunan OKU sebagai satu jabatan penuh.

3. Penubuhan Yayasan Pembangunan OKU Malaysia.

4. Meluaskan kategori OKU kepada penyakit jarang jumpa dan albino.

5. Melancarkan Skuad Prihatin OKU bagi mengenalpasti OKU yang belum berdaftar.

6. Memulakan usaha penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Marrakesh.

7. Menyediakan peruntukkan bagi melatih jurubahasa isyarat bagi membantu komuniti OKU
Pendengaran.

8. Menyediakan peruntukkan khas dan penubuhan Tabung Amanah Penyakit Jarang Jumpa
menerusi Belanjawan 2022.

9. Mewujudkan Unit Kaunselor Genetik di bawah KKM bagi membantu komuniti penyakit jarang
jumpa.

10.Membentangkan penialaian Pelan Tindakan OKU yang akan tamat pada tahun 2022, serta
memulakan proses untuk penyediaan Pelan Tindakan OKU 2023- 2030 yang lebih fokus.

11.Memulakan usaha mewujudkan Dasar Penyakit Jarang Jumpa.

12.Memperkenalkan insuran khas buat komuniti OKU di Malaysia.

13.Menyediakan bantuan sewa premis kepada OKU yang terjejas akibat pandemik.

14.Menyalurkan geran khas kepada NGO untuk membantu mereka di lapangan terutamanya di
kawasan pedalaman dan luar bandar.

15.Memperbaiki polisi dan dasar pendidikan murid berkeperluan khas.

16.Menambah kuota Ahli Dewan Negara Wakil OKU kepada 2 orang.

 

Rad Adiba berkata, beliau berkeyakinan kesemua perkara di atas penting bagi memastikan kebajikan OKU di Malaysia terbela.

 

''Namun begitu ia mampu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika kesemua kementerian berkaitan menunjukkan kesungguhan dalam hal pembangunan dan pemerkasaan OKU. Ini adalah sebahagian tanggungjawab kerajaan bagi memastikan OKU tidak ketinggalan arus pembangunan negara.

 

''Komitmen untuk merealisasikan hak OKU bukan hanya soal keadilan; malah ia adalah pelaburan untuk masa depan bersama. Hak dan martabat golongan OKU perlu dan tetap dijadikan salah satu agenda teras untuk diperkasakan agar kemakmuran bumi bertuah ini dapat dimanfaat serta dikongsi bersama,'' kata beliau. - DagangNews.com