Prospek Dayang dijangka pulih tahun ini, raih manfaat daripada projek Petronas | DagangNews Skip to main content

Prospek Dayang dijangka pulih tahun ini, raih manfaat daripada projek Petronas

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Mei - Kenanga Research menjangkakan prospek Dayang Enterprise Holdings Bhd. akan bertambah baik secara beransur-ansur sepanjang tahun ini berikutan pemulihan projek selepas 2 tahun terhenti. 

 

Firma itu berkata, penyedia perkhidmatan minyak dan gas (O&G) yang berpangkalan di Sarawak itu akan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan bagi kerja-kerja penyelenggaraan, pembinaan dan pengubahsuaian luar pesisir (MCM) serta penyambungan dan pentauliahan (HUC) daripada Petronas.

 

"Kami sebelum ini mengetengahkan Dayang sebagai salah satu penerima manfaat utama daripada prospek aktiviti Petronas bagi 2022-2024 bagi kerja-kerja MCM dan HUC," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Ini mendorong firma itu mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Dayang dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, Dayang kembali mencatat keuntungan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022 berjumlah RM13.76 juta berbanding kerugian bersih RM27.54 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Prestasi suku tahunan yang bertambah baik disebabkan terutamanya oleh tuntutan insurans yang diterima daripada insiden MV Dayang Topaz sebanyak RM3.6 juta, keuntungan bersih/tidak nyata dalam pertukaran asing sebanyak RM900,000, serta caj susut nilai yang lebih rendah sebanyak RM4.9 juta.

 

Kumpulan mengalami kehilangan salah satu kapalnya pada Oktober 2020, apabila Dayang Topaz karam dan 2 anak kapal maut di luar pantai Miri, Sarawak, selepas melanggar platform minyak luar pesisir. Kapal itu hilang kawalan selepas sauh tercabut.

 

Sementara itu, hasil bagi tempoh berkenaan melonjak 90.5% kepada RM160.14 juta daripada RM84.06 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya didorong pemulihan arahan kerja/kontrak yang diberikan daripada syarikat O&G utama pada suku pertama 2022.

 

Kenanga Research menyifatkan prestasi kewangan Dayang pada suku pertama itu adalah memenuhi jangkaannya di sebalik menyaksikan penurunan suku ke suku, memandangkan ia kebiasannya merupakan suku yang lemah disebabkan musim tengkujuh.

 

"Namun, prestasi tahun ke tahun mengalami pemulihan daripada kerugian didorong pemulihan kontrak seiring pembukaan semula ekonomi," tambahnya.

 

Bagaimanapun, firma itu, setakat ini tidak membuat sebarang perubahan bagi unjuran tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY23.

 

"Risiko kepada penarafan kami bergantung kepada pelaksanaan kerja, arahan kerja yang lebih lemah daripada jangkaan dan kadar penggunaan kapal yang lebih perlahan daripada jangkaan," katanya. 

 

Setakat 10.07 pagi ini, harga saham Dayang menokok 1.5 sen atau 1.67% kepada 91.5 sen dengan 840,100 saham diniagakan. - DagangNews.com