Persekitaran mencabar jejaskan untung bersih Westports, susut 8.8% kepada RM162 juta | DagangNews Skip to main content

Persekitaran mencabar jejaskan untung bersih Westports, susut 8.8% kepada RM162 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Julai - Westports Holdings Bhd. merekodkan untung bersih yang lebih rendah pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 sebanyak RM162.29 juta, susut 8.81% berbanding RM177.97 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, pendapatan pada tempoh berkenaan meningkat 1.17% kepada RM510.98 juta daripada RM505.07 juta, berikutan hasil kontena yang lebih tinggi, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Susulan itu, untung bersih Westports bagi separuh perama berakhir 30 Jun 2022 susut 18.68% kepada RM314.15 juta, daripada RM386.29 juta, terjejas akibat Cukai Makmur dan ketiadaan pembayaran balik insurans RM20 juta tahun lalu.

 

Pendapatan bagi tempoh itu meningkat 1.39% kepada RM1.03 bilion daripada RM1.01 bilion, meskipun mengalami pengurangan volum kepada 4.88 juta TEU, daripada 5.3 juta TEU bagi tempoh sama 2021.

 

Pada suku dikaji, keadaan makroekonomi global tidak menentu, termasuk lonjakan harga tenaga global, tekanan inflasi yang meningkat secara meluas, kenaikan kadar faedah, momentum ekonomi yang merosot dan konflik ketenteraan di Ukraine.

 

Cabaran buruk ini ditambah lagi dengan kekangan rantaian bekalan yang tidak dapat diselesaikan dan penutupan pelabuhan disebabkan pandemik COVID-19.

 

Pengarah Urusan Westports, Ruben Emir Gnanalingam Abdullah berkata, selain momentum ekonomi yang semakin lemah, pasaran kewangan juga tidak menentu dengan ketepatan masa rantaian bekalan yang mencabar. 

 

"Ini semuanya tidak dapat dielakkan dan akhirnya boleh menjejaskan daya pengeluaran kontena, malah, dunia juga perlu menghadapi cabaran untuk mengehadkan perubahan iklim," katanya.

 

Menurut beliau, perkembangan luaran akan menjadi lebih mencabar pada suku berikutnya dengan persekitaran makro yang tidak menggalakkan, kekangan rantaian bekalan dan ketidaktentuan pandemik mungkin menimbulkan cabaran untuk pemulihan ekonomi dan perdagangan yang lebih meluas.

 

Bagi Westports, katanya, persekitaran luaran yang berubah dengan pantas menjadikannya semakin mencabar untuk mengekalkan volum pemprosesan kontena yang sama pada tahun semasa.

 

"Bagaimanapun, ekonomi tempatan pada masa ini agak kurang terjejas, justeru, Westports akan terus memainkan peranannya sebagai pelabuhan gerbang utama bagi Malaysia dan terus menyokong aktiviti ekonomi," jelasnya. - DagangNews.com