Penggabungan Celcom & Digi diharap manfaatkan rakyat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 23 June 2021

Penggabungan Celcom & Digi diharap manfaatkan rakyat

 

 

PROSES penggabungan Celcom dan Digi berakhir dengan persetujuan apabila Kumpulan Axiata Berhad (Axiata), Telenor Asia Pte Ltd (Telenor) dan Digi.Com Berhad (Digi) mengumumkan penyelesaian proses ketekunan wajar, dan memeterai perjanjian urus niaga bagi penggabungan Celcom dan Digi.

 

Penggabungan dua syarikat telco ini adalah “win-win” kepada kedua-dua syarikat ini. Penggabungan kedua-dua syarikat telco ini akan memberi manfaat senergi dalam menawarkan perkhidmatan selular dan jalur lebar fiber yang komprehensif untuk menyediakan promosi secara bersama dan perkhidmatan sokongan, khususnya untuk penyelesaian perusahaan yang kritikal.

 

Namun, penggabungan ini juga bakal  mewujudkan pasaran monopoli dan meningkatkan pertumbuhan syarikat dan mengurangkan persaingan dalam pasaran telekomunikasi.

 

Axiata dan Telenor masing-masing akan menguasai 33.1% pegangan dalam gabungan yang dikenali sebagai MergeCo, dan ia akan terus disenarai di Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

MergeCo dijangka menjadi antara lima syarikat terbesar disenaraikan di Bursa Malaysia dengan nilai ekuiti pra-sinergi yang digabungkan mencecah kira-kira RM50 bilion.

 

Apa itu ketekunan wajar?

Setelah melalui proses ketekunan wajar, kedua-dua syarikat telco ini telah memutuskan untuk bergabung. Ketekunan wajar penting bagi menilai senergi dan nilai syarikat hasil gabungan dari dua syarikat yang beroperasi secara berasingan sebelum ini.

 

Proses ini akan melalui proses pengesahan, penyiasatan, atau audit kemungkinan perjanjian atau peluang pelaburan untuk mengesahkan semua fakta dan maklumat kewangan yang relevan.

 

Tiga Penyata Kewangan yang di nilai adalah penyata pendapatan, kunci kira-kira, dan penyata aliran tunai. Dalam proses ketekunan wajar ini menilai proses pemerolehan dari awal hingga akhir, dan pelbagai jenis pemerolehan (pembelian strategik berbanding kewangan) dan kos transaksi atau proses pelaburan.

 

Ketekunan wajar diselesaikan sebelum kesepakatan ditutup untuk memberi pembeli jaminan apa yang mereka dapat melalui pengabungan ini.

 

Nilai Gabungan MergeCo. dan Prospek Masa Depan

Jangkaan selepas gabungan, berdasarkan akaun imbangan pro-forma, MergeCo dijangka mempunyai pelanggan kira-kira 19 juta dengan pendapatan sebanyak RM12.4 bilion, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM5.7 bilon, keuntungan selepas cukai RM1.9 bilion dan aliran tunai sejumlah RM4.0 bilion.

 

 

volatiliti

 

 

Penggabungan Celcom dan Digi akan memberikan Axiata saham baharu yang diterbitkan di Digi, mewakili 33.1% daripada modal saham terbitan Digi yang diperbesar, pertimbangan tunai sebanyak RM2.0 bilion di mana kira-kira RM1.7 bilion daripada Digi sebagai hutang di MergeCo, dan kira-kira RM300 juta dari Telenor sebagai sebahagian daripada pemerataan pemilikan berdasarkan syarat penggabungan yang dicadangkan.

 

Dengan pengabungan ini akan membawa prospek perkembangan dan pertumbuhan syarikat yang lebih baik apabila penyatuan pengalaman, kecekapan dan kekuatan kewangan dua syarikat telco global ini.

 

Dengan pelancaran MyDIGITAL oleh kerajaan Malaysia yang merancakkan lagi perkembangan 5G, internet kebendaan (Internet of Things, IoT) dan pengkomputeran awan (cloud computing) yang bakal memacu proses digitalisasi merentasi seluruh pelusuk masyarakat yang dapat dimanfaatkan sepenuhnya melalui penggabungan dua syarikat telco ini.

 

MergeCo juga menyasarkan untuk melabur sehingga RM250 juta dalam tempoh lima tahun dalam membangunkan Pusat Inovasi bertaraf antarabangsa di Kuala Lumpur dengan sasaran memacu transformasi digital Revolusi Industri 4.0 (4IR), mengukuhkan ekosistem tempatan dan menjadikan Malaysia di barisan hadapan evolusi digital global.

 

Dalam memanfaatkan peluang baharu dalam ekonomi digital, Pusat Inovasi itu akan melakukan penyelidikan dan pembangunan yang luas, membangunkan kes penggunaan 5G, menyokong syarikat permulaan digital tempatan, dan menyediakan platform untuk memupuk tenaga kerja berasaskan pengetahuan selaras dengan aspirasi MyDIGITAL.

 

Penggabungan ini juga akan membawa menjadikan MergeCo sebagai pengendali selular terbesar di Malaysia, Nepal, Kemboja, Myanmar, Sri Lanka dan Bangladesh manakala kedua terbesar di Indonesia dan Pakistan.

 

Datuk Izzaddin Idris Pengerusi MergeCo

Axiata dan Telenor bersetuju mencalonkan  Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Datuk Izzaddin Idris sebagai Pengerusi MergeCo, manakala Jorgen C. Arentz Rostrup sebagai Timbalan Pengerusi.

 

Izzaddin Idris
                             Izzaddin Idris

 

Menurut beliau, MergeCo akan memberikan nilai tambah dan pilihan yang lebih baik yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat, terutamanya untuk merapatkan jurang di kawasan luar bandar serta membantu perniagaan kediaman dan perusahaan memanfaatkan peluang baru dalam persekitaran digital yang pesat ini.

 

Pengabungan ini juga tidak akan menjejaskan kakitangan mereka dan MergeCo akan tetap melindungi hak dan kebajikan pekerja tanpa sebarang pemberhentian secara paksa.

 

Izzaddin juga menyatakan anak syarikat Axiata, Boost Holdings Sdn Bhd telah bekerjasama dengan RHB Bank membentuk satu konsortium bagi memohon lesen perbankan digital daripada Bank Negara Malaysia (BNM). Ini akan membawa pertumbuhan yang sangat baik kepada syarikat.

 

Dalam tempoh transisi pengabungan ini, dijangka EBITDA dan margin aliran tunai dalam entiti gabungan kedua-dua syarikat telco ini akan terus meningkat.

 

Harga saham  semasa bagi Axiata Group Bhd dan Digi.Com Bhd, meningkat 2.08% dan 1.01% pada 22 Jun 2021 semasa pembukaan pasaran saham berikutan pemeteraian perjanjian urus niaga bagi penggabungan.

 

Berdasarkan situasi semasa dan kelancaran proses penggabungan ini, harga saham kedua-dua syarikat ini boleh melonjak naik lagi  manakala  bagi pemegang saham pula dijangka akan dibayar dividen yang maksimum. – DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

 

      KOLEKSI VOLATILITI

 

 

 

 

 

Portfolio Tags