Pendapatan Genting dijangka kembali kukuh didorong pembukaan semula sempadan antarabangsa - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Genting dijangka kembali kukuh didorong pembukaan semula sempadan antarabangsa - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mei - Kenanga Research menjangkakan pendapatan Genting Berhad kembali kukuh berdasarkan kepada langkah pembukaan semula sempadan antarabangsa di Malaysia dan Singapura bermula awal bulan lalu.

 

Firma itu berkata, Genting dijangka menerima manfaat besar daripada pembukaan semula sempadan antarabangsa itu selepas sebahagian besar daripada operasi mereka kini lebih terarah kepada aktiviti pelancongan dan riadah.

 

"Kami menjangkakan pemulihan pendapatan Genting Malaysia dan Genting Singapura akan bermula pada suku kedua 2022 dan ia didorong oleh pembukaan semula sempadan antarabangsa bermula 1 April 2022," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pemerkasaan operasi dan pendapatan Genting Malaysia dan Genting Singapura akan turut memberi manfaat kepada Genting, sebagai syarikat induk kedua-dua unit perniagaan berkenaan.

 

"Pihak pengurusan kumpulan juga optimis, tetapi kekal berhati-hati terhadap trajektori pemulihan memandangkan pembukaan semula sempadan itu.

 

"Kumpulan juga sebelum ini turut mendedahkan pelaburan bernilai S$400 juta (RM1.25 bilion) pada tahun 2022 untuk Resort World Singapore 2.0 dan kerja pengubahsuaian yang berkaitan untuk taman tema serta tiga hotel sebagai langkah bersiap sedia untuk pembukaan semula sempadan," katanya.

 

Genting Singapore Ltd baru-baru ini merekodkan peningkatan keuntungan teras suku pertama kepada S$43.5 juta (RM137 juta) berbanding S$12 juta (RM37.8 juta) pada suku sebelumnya apabila perniagaan jatuh mendadak ketika itu.

 

Dalam perbandingan tahun ke tahun, keuntungan teras suku dikaji merosot sedikit sebanyak 2% kepada S$43.5 juta (RM137 juta) daripada S$44.5 juta (RM140 juta), sebahagiannya disebabkan oleh perbelanjaan utiliti yang lebih tinggi dan tamat tempoh langkah sokongan kerajaan berkaitan COVID-19.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan sasaran harga RM6.12 dan pada masa sama mengekalkan unjuran pendapatan mereka. - DagangNews.com