Muhyiddin laksana tugas Pengerusi MPN secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin laksana tugas Pengerusi MPN secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan

 

PUTRAJAYA 4 Sept. - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima pelantikan sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri dan akan menjalankan tugas secara sukarela tanpa apa-apa imbuhan.

 

Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, kepercayaan yang telah diberikan oleh Kerajaan ini merupakan suatu amanah untuk beliau meneruskan segala usaha dan perancangan yang telah dimulakan sebelum ini untuk memulihkan negara daripada kesan wabak COVID-19.

 

''Saya dan anggota Majlis Pemulihan Negara akan berperanan membantu Perdana Menteri dan Kerajaan pimpinan beliau membawa Malaysia melalui fasa-fasa pemulihan sepertimana yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara.

 

''Ini termasuk menyokong pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, memudah cara pembukaan sektor-sektor ekonomi, sosial, pendidikan dan keagamaan serta mewujudkan kesedaran masyarakat terhadap pematuhan kepada norma baharu kehidupan selaras dengan peralihan pengurusan COVID-19 yang akan memasuki fasa endemik.

 

''Insya-Allah, saya akan memanfaatkan segala pengalaman yang ada dan mengharapkan sokongan semua pihak dalam semangat Keluarga Malaysia bagi memastikan matlamat melindungi nyawa, menjamin kelangsungan hidup dan memulihkan negara akan mencapai kejayaan,'' kata Muhyiddin.

 

''Alhamdulillah, saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Jemaah Menteri, khususnya Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Ismail Sabri bin Yaakob, atas pelantikan saya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.

 

''Saya juga menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah yang telah memperkenankan pelantikan saya,'' kata beliau. 

 

Terdahulu Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan bahawa Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 1 September lalu, telah bersetuju untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin, mantan Perdana Menteri ke-8 sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri,.

 

Menurut Mohd Zuki selaku Setiausaha Jemaah Menteri, pelantikan terseut telah disembah maklum kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

 

''Pelantikan ini juga dibuat atas dasar keyakinan Kerajaan terhadap kemampuan Tan Sri Muhyddin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

 

''Pihak Kerajaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin di atas pelantikan ini,'' kata Mohd Zuki dalam kenyataan di sini hari ini. - DagangNews.com