MSM kekal fokus dengan pelan pemulihan, jangka cabaran lebih besar tahun ini | DagangNews Skip to main content

MSM kekal fokus dengan pelan pemulihan, jangka cabaran lebih besar tahun ini

Pihak industri yakin kerajaan akan menetapkan harga siling gula baharu yang lebih komprehensif.

KUALA LUMPUR 8 Jun – MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) kekal fokus untuk mengekalkan pelan pemulihannya di tengah-tengah peningkatan kos pengeluaran utama iaitu gula mentah, pengangkutan, gas asli dan tukaran asing. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MSM, Syed Feizal Syed Mohammad berkata, kumpulan menjangkakan cabaran yang lebih besar bagi tahun kewangan 2022 (FY22) ekoran peningkatan kos pengeluaran utama.

 

Situasi ini katanya, menyebabkan MSM mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) yang telah dijangka sebanyak RM28 juta pada suku pertama 2022 berbanding keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM31 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

"Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh kos pengeluaran yang lebih tinggi didorong oleh NY11 29% lebih
tinggi, peningkatan 57% dalam kos pengangkutan dan ringgit yang lebih lemah. 

 

"Sebagai tindak balas kepada tekanan kos, MSM sebagai industri bersama telah berbincang dengan kerajaan mengenai keperluan untuk menyemak semula harga siling terkawal bagi segmen runcit. 

 

"Harga penapisan gula mengalami kenaikan bersih hanya 1 sen/kg sejak 2011,"  katanya dalam kenyataan hari ini selepas mesyuarat agung tahunan ke-11 yang diadakan secara dalam talian dihadiri seramai 1,057 pemegang saham.

 

 

Syed Feizal Syed Mohammad
Syed Feizal Syed Mohammad

 

 

Secara dasarnya, pengeluar jenama gula bertapis nasional 'Gula Prai' itu telah pulih dengan prestasi kewangan yang lebih baik sejak 2020 walaupun menghadapi cabaran pasaran.

 

Bagi tahun kewangan 2021 (FY21), kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.3 bilion dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) berjumlah RM81 juta bersandarkan jumlah aset RM2.87 bilion. 

 

Ia merupakan peningkatan yang memberangsangkan sejak 2020 walaupun berdepan dengan cabaran sepanjang tahun. 

 

MSM juga telah kembali menjadi syarikat membayar dividen dengan mengisytiharkan dividen sebanyak 3 sen sesaham untuk FY21.

 

MSM mencatatkan peningkatan PBT sebanyak RM81 juta untuk FY21, berbanding RM36 juta pada FY20. Kumpulan juga mencatatkan peningkatan 3% dalam pendapatan sebanyak RM2.26 bilion untuk tahun kewangan penuh FY21 berbanding RM2.18 bilion pada tahun kewangan lalu. 

 

Bagi FY21, keuntungan daripada pelupusan MSM Perlis Sdn. Bhd. berjumlah RM91.8 juta telah menyumbang kepada kumpulan mencatatkan jumlah PBT disatukan sebanyak RM170 juta.

 

MSM

 

Syed Feizal berkata, MSM menghasilkan hampir 900,000 tan gula bertapis di tengah-tengah pasaran domestik dan antarabangsa yang lebih perlahan pada 2021 disebabkan pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan. 

 

"MSM berdepan dengan cabaran pelbagai faktor pada tahun lalu tetapi langkah mitigasi yang sesuai telah diambil untuk menanganinya," jelasnya.

 

Beliau memberitahu, kumpulan mempunyai pelan tindakan strategik 3 tahun yang dinamik dengan 2021 ialah
Pemulihan, 2022 Berdaya Tahan dan 2023 Integrasi. 

 

Ini turut menyaksikan MSM Johor kekal sebagai tumpuan utama kumpulan dalam program peningkatan dan mencapai keuntungan manakala MSM Prai akan menjalani proses naik taraf dengan lanjutan hayat selama 30 tahun dalam memanfaatkan aset.

 

Jelasnya, kumpulan akan berusaha untuk meningkatkan bahagian pasaran domestik sambil membuka pasaran baharu melalui perdagangan am terakhir, hotel, restoran dan kafeteria (HORECA) dan pembungkusan SKU kecil yang sesuai untuk kedai rangkaian serbaguna. 

 

Pada masa sama, katanya, MSM akan terus memperoleh bahagian pasaran yang lebih besar dalam Asia Pasifik dan menembusi segmen runcit Singapura yang dilihat daripada lensa domestik dan strategi logistik.

 

"Kami juga akan meningkatkan lebih banyak volum produk nilai tambah seperti gula cecair dan pracampuran
yang mempunyai margin yang lebih tinggi dan permintaan yang besar di pasaran seperti China. 

 

"Sebagai sebahagian daripada pelan pengukuhan Johor, MSM kekal terbuka untuk mempunyai rakan kongsi yang sesuai dengan pasaran eksport dan pengalaman operasi yang kukuh," tambahnya. - DagangNews.com