MNRB catat pertumbuhan keuntungan 15.4% kepada RM3 bilion FY2022 | DagangNews Skip to main content

MNRB catat pertumbuhan keuntungan 15.4% kepada RM3 bilion FY2022

Kumpulan MNRB akan terus membina ketahanan perniagaan pada FY2023 dengan memanfaatkan lagi pendigitalan, antaranya ekosistem digital, GO by Takaful IKHLAS
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 30 Mei MNRB Holdings Berhad (MNRB) kekal kukuh bagi Tahun Kewangan Berakhir 31 Mac 2022 (FY2022) dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 15.4% dalam Premium Kasar dan Sumbangan Takaful kepada RM3 bilion berbanding RM2.6 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan sebelumnya.

 

Pendapatan pelaburan bersih bagi FY2022 adalah lebih rendah berbanding tahun lalu yang menyebabkan pengurangan dalam Keuntungan Bersih Kumpulan sebanyak 39.6% kepada RM114.4 juta.

 

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Zaharudin Daud berkata, FY2022 telah memberi beberapa cabaran kepada persekitaran operasi kumpulan dengan pasaran domestik tidak terkecuali daripada mengalami impak secara langsung dan tidak langsung daripada pandemik global ini.

 

Sepanjang separuh pertama tahun kewangan kata beliau, pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan untuk menangani peningkatan semula kes COVID-19 dan variannya.

 

“Dalam meneruskan operasi pada tahun ini seiring dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara, kita telah  dilanda kejadian banjir besar pada Disember 2021, dan sebagai sebuah organisasi reinsurans dan takaful yang bertanggungjawab, entiti-entiti kami segera bertindak dalam mengharungi cabaran akibat bencana tersebut.

 

“Kumpulan MNRB telah menunjukkan daya tahan yang tinggi, dalam mengharungi cabaran dan mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada FY2022,” kata beliau.

 

Malaysian Re terus perkukuh perniagaan luar negara

Anak syarikat reinsurans Kumpulan, Malaysian Reinsurance Berhad (Malaysian Re) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 21.4% dalam Premium Kasar dan Sumbangan  Kasar kepada RM1.7 bilion berbanding RM1.4 bilion yang dicatatkan pada FY2021. Ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh segmen perniagaan luar negara dan peningkatan kontrak tempatan.

 

Pada FY2022 Malaysian Re terjejas dengan beberapa kerugian besar termasuk peristiwa banjir domestik pada Disember 2021 telah menyumbang kepada prestasi pengunderaitan yang lebih rendah bagi Syarikat.

 

Selain daripada prestasi pengunderaitan, keputusan kewangan Syarikat juga dipengaruhi oleh pendapatan pelaburan bersih yang lebih rendah berikutan persekitaran pelaburan yang mencabar, yang membawa kepada pengurangan Untung Bersih sebanyak 52.8% kepada RM62.8 juta daripada RM133.1 juta pada tahun lalu.

 

 

Zaharudin Daud
                                                            Zaharudin Daud

 

 

“Peristiwa banjir Disember 2021 seperti yang kita maklum telah menjejaskan kehidupan ramai rakyat Malaysia di seluruh negara. Sebagai penanggung reinsurans negara, Malaysian Re mempergiatkan  sokongannya kepada industri dengan bertindak balas terhadap insiden ini melalui pengurusan tuntutan yang cekap dan pantas bagi memastikan keperluan pemegang polisi yang terjejas diuruskan dengan segera”.

 

“Melangkah ke hadapan, Malaysian Re akan terus mengembangkan dan mempelbagaikan portfolio luar negaranya dalam pasaran yang berpotensi tinggi dan meningkatkan penglibatan dalam segmen baharu seperti Ejen Pengurusan Am (MGA), Agricultre dan Siber.

 

“Selain itu, kami akan memberi penekanan kepada usaha membangunkan keupayaan untuk mengambil risiko yang lebih kompleks bagi membolehkan kami menawarkan penyelesaian risiko yang komprehensif kepada pelanggan”, tambah Zaharudin.

 

Takaful IKHLAS Family kekal pertumbuhan

Takaful Ikhlas Family Berhad (Takaful IKHLAS Family), perniagaan takaful keluarga Kumpulan, menyaksikan peningkatan sebanyak 3.8% dalam Sumbangan Kasarnya kepada RM713.8 juta daripada RM687.5 juta yang dicatatkan pada FY2021.  Ini disumbangkan terutamanya oleh perniagaan berkaitan kredit serta produk individu, iaitu IKHLAS Bersama dan IKHLAS Dariku.

 

FY2022 turut menyaksikan Takaful IKHLAS Family mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 57.9% dalam Keuntungan Bersih kepada RM30.8 juta daripada RM19.5 juta yang dicatatkan pada tahun lalu.

 

“Kekukuhan akan terus menjadi kunci dalam memacu perniagaan takaful keluarga kami ke hadapan. Kami akan terus mempromosi dan menawarkan produk serta penyelesaian yang inovatif kepada pelanggan dan pada masa yang sama, mengukuhkan hubungan Bankatakaful dan mengembangkan kekuatan serta keupayaan agensi kami untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dan meluaskan lagi jangkauan ke seluruh negara.

 

“Kami juga memanfaatkan keupayaan digital untuk mempercepatkan proses pembayaran manfaat untuk membantu meningkatkan pengalaman pelanggan dan keupayaan lain yang akan diperkenalkan pada tahun akan datang,” tambah Zaharudin.

 

 

takaful ikhlas

 

 

Takaful IKHLAS General catat peningkatan ketara

Sementara itu, anak syarikat takaful am Kumpulan MNRB, Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS General) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.1% dalam Sumbangan Kasarnya kepada RM516.1 juta pada FY2022 daripada RM468.8 juta yang dicatatkan pada FY2021. Ini berikutan peningkatan ketara dalam kesemua kelas perniagaan, terutamanya kelas Motor dan P.A.

 

Peningkatan dalam Sumbangan Kasarnya menyumbang kepada yuran wakalah yang lebih tinggi dan dengan itu Keuntungan Bersih Takaful IKHLAS General meningkat sebanyak 20.1% pada FY2022 kepada RM32.9 juta daripada RM27.4 juta pada FY2021.

 

“Perniagaan takaful am kami telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan pada FY2022. Ini didorong oleh perkongsian dan kempen strategik sepanjang tahun kewangan, serta pelaksanaan pelbagai usaha pendigitalan termasuk penubuhan cawangan maya dan pelancaran proses tuntutan berautomasi yang mempercepatkan penyelesaian tuntutan Motor dan Kebakaran dengan ketara.

 

“Melangkah ke hadapan, kami akan terus meneroka peluang untuk pengedaran saluran dalam talian yang inovatif melalui platform digital kami serta mengembangkan perkongsian fintech kami untuk meningkatkan pengalaman ejen, rakan kongsi dan pelanggan serta untuk meningkatkan lagi kehadiran dan jangkauan kami untuk membantu memudahkan lebih banyak rakyat Malaysia mengambil bahagian dalam membantu satu sama lain dalam melindungi nyawa, mata pencarian, kekayaan dan aset mereka.” tambah Zaharudin

 

Rancangan masa depan bagi Kumpulan MNRB

Kumpulan MNRB kekal teguh dalam usaha membina ketahanan dalam perniagaan pada tahun kewangan baharu ini. Pendigitalan kekal sebagai keutamaan Kumpulan di mana inovasi teknologi terus diguna pakai untuk meningkatkan kecekapan operasi, mengukuhkan analitik perniagaan dan meningkatkan kebolehpercayaan produk dan perkhidmatannya untuk menambah baik pengalaman pelanggan.

 

 

mnrb

 

 

Mengulas mengenai rancangan Kumpulan bagi tahun kewangan baharu, Zaharudin berkata, “Kumpulan MNRB akan meneruskan usahanya dalam membina ketahanan perniagaan pada tahun kewangan baharu ini dengan memanfaatkan lagi pendigitalan, antaranya ekosistem digital kami iaitu GO  by Takaful IKHLAS. Kami juga memperluaskan tumpuan pelanggan dengan inisiatif yang telah diukur untuk memastikan kecemerlangan perkhidmatan yang berterusan.”

 

“Selain itu, kami juga akan meneruskan usaha ke arah mencapai pertumbuhan yang kukuh untuk semua pihak berkepentingan kami.

 

"Dalam usaha untuk mencipta impak sosio-ekonomi yang positif, kami akan meningkatkan sokongan kepada pembangunan tenaga neutral dan boleh diperbaharui serta memperkukuh usaha ke arah penembusan takaful yang inklusif dan meningkatkan bahagian pasaran kami untuk menjadi lebih dominan dalam pasaran.

 

"Matlamat kami adalah untuk menyampaikan pertumbuhan yang mampan di samping memastikan penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pemegang kepentingan kami,” kata Zaharudin – DagangNews.com