MakmurAgro bakal lancar Kota Tani di seluruh negara | DagangNews Skip to main content

MakmurAgro bakal lancar Kota Tani di seluruh negara

 

KUALA LUMPUR 4 Nov – Aras Niaga Makmur Agro Berhad (MakmurAgro) menerusi anak syarikatnya, Makmur Biotechnology Sdn. Bhd., bakal melancarkan Program Pembangunan Tapak Semaian Kebangsaan Satu Parlimen Satu Nurseri (1P1N) di seluruh negara pada akhir tahun ini.

 

Rangkaian nurseri yang diuruskan secara bersepadu di bawah jenama Kota Tani tersebut akan memudahkan rakyat Malaysia khususnya golongan petani untuk mendapatkan bekalan bahan tanaman terbaik pada masa yang dikehendaki.

 

Kota Tani juga akan memasarkan semua produk melalui platform digital dan secara dalam talian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MakmurAgro, Dato Mohd Al Khafiz Zainal berkata, Kota Tani merupakan sebuah pusat sehenti yang mampu memberikan kemudahan kepada orang ramai.

 

Menurutnya, meskipun kesemua nurseri di 222 buah Parlimen ini berfungsi sebagai pusat jualan, sebahagian daripada nurseri tersebut turut berperanan sebagai pusat pengedaran atau pusat semaian.

 

Kota Tani kata beliau, akan membekalkan bahan tanaman terbaik dan bermutu tinggi terutamanya yang lahir daripada penyelidikan pihak MARDI dan semua agensi berkaitan pembangunan pertanian kebangsaan.

 

Bahan tanaman dan benih ini merupakan bahan tanaman yang telah mendapat pengesahan oleh Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

 

“Pusat semaian berpusat akan diwujudkan di Rembau, Negeri Sembilan di mana bahan-bahan tanaman utama akan dihasilkan. Anak benih ini akan dihantar ke pusat-pusat pengedaran yang diwujudkan di setiap negeri.

 

“Pusat pengedaran pula berfungsi untuk menerima dan menyimpan stok produk yang diperoleh daripada pembekal. Produk daripada pusat pengedaran akan dihantar ke pusat jualan mengikut keperluan.

 

“Kewujudan pusat pengedaran ini mampu menjimatkan kos logistik dan membolehkan produk dihantar kepada pelanggan dengan segera,” katanya di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

 

 

Mohd. Al Khafiz
          Dato Mohd Al Khafiz Zainal

 

 

Mohd. Al Khafiz berkata, kedai Kota Tani pula akan menjadi medium interaksi utama bersama pelanggan di mana aktiviti jual beli berlaku.

 

1P1N dilaksanakan bersama rakan strategik seperti Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Agrobank Malaysia Berhad, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

 

Produk daripada rangkaian nurseri 1P1N turut disasarkan untuk kegunaan di Ladang MakmurAgro yang kini dianggarkan lebih 2,000 ekar (816 hektar), Ladang Integrasi Tanaman Rakyat (LITAR), nurseri runcit dan orang awam.

 

“Banyak produk yang berpotensi untuk dijual dalam rangkaian nurseri 1P1N. Pada peringkat permulaan Kota Tani akan menjual anak pokok untuk tanaman kontan seperti pokok pisang, betik dan kunyit hitam selain tanaman industri (kelapa sawit dan getah), ujar beliau.


 

MakmurAgro

 

Tanaman hiasan seperti anak pokok bunga orkid, palma, heliconia, celosia dan zinnia juga mendapat permintaan yang tinggi ketika ini. Penjualan input tani akan menghasilkan pendapatan yang berulang kerana ia sentiasa diperlukan oleh petani dan pekebun.

 

“Antara input tani yang boleh dijual adalah baja, tanah campuran, bahan kawalan perosak dan rumpai, alatan kecil pertanian, pasu serta polibeg,” katanya.


 

MakmurAgro

 

MakmurAgro

 

 

Pada masa sama kata Mohd. Al Khafiz, MakmurAgro juga bakal menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) dan beberapa institusi lain sebagai rakan strategik komersial.

 

Kerjasama bersama UCAM merangkumi penempatan latihan praktikal dan kerjaya graduan, latihan profesional jangka pendek di dalam bidang-bidang yang ditentukan serta bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara kerjasama yang bakal dijalin kedua-dua pihak. – DagangNews.com