Skip to main content

KWAP bukan lagi pemegang saham utama Maybank 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. - Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP bukan lagi pemegang saham utama Malayan Banking Berhad (Maybank). 

 

Ini selepas institusi tersebut melupuskan 1 juta saham biasa Maybank di pasaran terbuka semalam, menurut makluman Maybank kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Menurut laman web Maybank, KWAP memegang 4.59% kepentingan ekuiti atau mewakili 537.3 juta saham Maybank setakat 30 Jun 2021. 

 

Menerusi data sama, AmanahRaya Trustees Berhad merupakan pemegang saham Maybank yang terbesar dengan pemilikan 34.87% kepentingan ekuiti atau 4.1 bilion saham. 

 

Setakat laporan ditulis, AmanahRaya Trustees turut melupuskan 2.16 juta saham biasa Maybank, dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebaliknya membeli 600,000 saham bank itu. 

 

Maybank mula diasaskan pada tahun 1960 dan kini merupakan syarikat tersenarai terbesar di Bursa Malaysia dari segi permodalan pasaran. 

 

Pada penutupan dagangan petang ini, harga saham Maybank ditutup tidak berubah pada kadar RM8.05 dengan nilai pasaran mencecah RM94.13 bilion. - DagangNews.com