Koop Sahabat agih dividen RM5.8 juta kepada 243,163 anggota | DagangNews Skip to main content

Koop Sahabat agih dividen RM5.8 juta kepada 243,163 anggota

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jun - Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koop Sahabat) mengumumkan pulangan dividen sebanyak 10% bersamaan RM5.8 juta kepada 243,163 anggota koperasi itu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM3.9 juta bagi tahun kewangan 2020.

 

Pengumuman kadar dividen 2021 itu merupakan kadar tertinggi pernah dicatatkan oleh Koop Sahabat sejak penubuhannya pada Ogos 2012.

 

Pengerusi Koop Sahabat, Mohd. Najib Mohd. Noor berkata, pembayaran dividen itu adalah hasil keuntungan bersih semasa yang dicatatkan oleh Koop Sahabat tidak termasuk pemotongan zakat sebanyak 2.5%.

 

Beliau berkata, biarpun turut terkesan dengan ketidaktentuan ekonomi dan berdepan dengan persekitaran mencabar akibat pandemik COVID-19, Koop Sahabat masih berupaya mengekalkan prestasi kadar dividen yang konsisten.

 

“Koop Sahabat mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan peningkatan signifikan perolehan pada 2021 berjumlah RM63.2 juta berbanding RM28.5 juta pada tahun sebelumnya. Ini adalah hasil daripada peningkatan perniagaan melalui aktiviti peruncitan dalam pembekalan stok ayam dan daging beku sebanyak RM13.46 juta.

 

“Manakala melalui aktiviti Perkhidmatan Kewangan adalah sebanyak RM12.7 juta hasil pembukaan enam cawangan baharu Sahabat Ar Rahnu di Setiu, Bertam, Pendang, Wangsa Melawati, Batu Pahat dan Kluang serta aktiviti Hartanah menyumbang sebanyak RM26.9 juta,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam majlis pengumuman agihan dividen itu pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) kali ke-9 dan Pengundian Pemilihan Anggota Lembaga Koperasi 2022 di Pulau Pinang, baru-baru ini.

 

 

koop
Mohd. Najib Mohd. Noor

 

 

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Shabudin Yahaya; Ketua Pegawai Eksekutif Koop Sahabat, Mazri Mahmood dan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Persekutuan, Jaafar Ahmad. 

 

Mohd Najib berkata, perkara itu memberi kesan secara langsung kepada catatan keuntungan Koop Sahabat yang meningkat pada kadar 143% berjumlah RM 9.17 juta berbanding RM 3.77juta pada 2020.

 

Beliau berkata, usaha itu merupakan komitmen Koop Sahabat dalam menjaga kebajikan anggotanyayang merupakan usahawan wanita dalam kalangan B40 disamping dapat memberi keyakinan yang kukuh kepada bakal anggota daripada kalangan Sahabat Usahawan AIM.

 

“Koop Sahabat berjaya mencapai dua daripada empat sasaran ditetapkan menerusi Pelan Strategik 2020 - 2024, untuk mendapatkan kedudukan dalam sepuluh Koperasi terbaik Malaysia dan mengagihkan dividen pada kadar 10% kepada anggota tercapai.

 

“Bersempena ulang tahun Koop Sahabat yang ke-10 pada Ogos ini, anggota lembaga koperasi dan pengurusan berpendirian untuk menumpukan pada pencapaian agihan dividen bahkan melihat dari konteks lebih luas termasuk tadbir urus baik.

 

“Turut diberi penekanan adalah mengamalkan integriti tinggi bagi pencapaian yang cemerlang dan kompetitif serta melahirkan warga kerja yang berkualiti tinggi dan produktif,” katanya.

 

Koop Sahabat turut optimis untuk mengekalkan prestasinya sebagai koperasi terbaik negara tiga tahun berturut-turut diiktiraf oleh SKM pada kelompok 10 koperasi terbaïk di negara ini. - DagangNews.com