Impak kewangan akibat kebakaran loji Pasir Gudang kepada Sime Darby Plantation dijangka minimum - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Impak kewangan akibat kebakaran loji Pasir Gudang kepada Sime Darby Plantation dijangka minimum - Maybank IB

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 April - Kebakaran kilang milik Sime Darby Plantation Bhd di kawasan perindustrian Pasir Gudang pada 27 April lalu seharusnya memberi impak kewangan yang minumum kepada syarikat perladangan itu.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, kebakaran itu berlaku di salah sebuah kilang penapisan minyak sawit yang lebih kecil dengan difahamkan ia telah diinsuranskan dengan baik.

 

"Memandangkan loji itu dikatakan mengalami kerugian kecil sejak dua tahun lalu, kami menganggap impak kewangan kepada Sime Darby Plantation  sepatutnya minimum.

 

"Kami tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan sesaham (EPS). Sime Darby Plantation kekal dengan saranan 'Pegang' pada harga sasaran (TP) sebanyak RM4.51 (pada 0.5x RNAV). Kami lebih suka Sarawak Oil Plantation (Beli, TP: RM3.18)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Memetik laporan media, kejadian pagi Sabtu lalu menyaksikan tingkat dua kilang memproses minyak sawit Sime Darby Plantation terbakar.

 

sime darby
Loji Penapisan Minyak Sawit Sime Darby Plantation di Pasir Gudang./Gambar Sime Darby Oils

 

Sementara itu, menurut Maybank IB, setakat ini masih tidak jelas sejauh mana kerosakan loji tersebut dan berapa lama ia akan mengambil masa untuk kembali beroperasi.

 

Bagaimanapun katanya, penapisan minyak sawit di loji tersebut adalah kecil merangkumi hanya 4% berbanding kapasiti kumpulan.

 

"Loji Pasir Gudang ini adalah yang terkecil daripada empat loji penapisan di Malaysia. 

 

"Insurans nampaknya melindungi kerugian dam kami difahamkan kilang Pasir Gudang ini mengalami kerugian kecil sepanjang dua tahun yang lalu," jelasnya.

 

Kata firma penyelidikan itu, kebanyakan keuntungan daripada segmen penapisan Sime Darby Plantation pada FY23 datang daripada operasi loji penapisan di Eropah.

 

Sime Darby Plantation melaporkan penyusutan untung bersih sebanyak 25 peratus kepada RM1.86 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 daripada RM2.49 bilion yang dicatatkan semasa FY2022 disebabkan oleh keuntungan berulang sebelum faedah dan cukai yang lebih rendah. - DagangNews.com