Skip to main content

Khairy komited larang penjualan rokok, vape kepada generasi lahir selepas 2005

Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan intervensi pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO Sesi ke-150 di Geneva, Switzerland, 26 Januari 2022.

KUALA LUMPUR  28 Jan – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi komitmen untuk melaksanakan undang-undang melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas tahun 2005.

 

‘’Seperti beberapa Pejabat Serantau bagi Pasifik Barat (WPRO) di negara lain, Malaysia berharap untuk meluluskan satu undang-undang pada tahun ini yang akan membawa kepada generasi tidak merokok.

 

“Ia dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas 2005 dan Malaysia merasakan ia memberi impak besar dalam mencegah dan mengawal Penyakit Tidak Berjangkit (NCD),” katanya.

 

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan intervensi pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO Sesi ke-150 di Geneva, Switzerland, kelmarin. Teks ucapan beliau dikeluarkan di laman web rasmi KKM.

 

KJ
Petikan ucapan Khairy Jamaluddin dalam ucapan intervensi pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO Sesi ke-150 di Geneva, Switzerland pada 27 Jan 2022.

 

 

Khairy berkata, Malaysia akan menyelaras Pelan Strategik Kebangsaan NCD dan Kertas Putih Mengenai Penjagaan Kesihatan Masa Depan dengan Hala Tuju Pelaksanaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

Menurut beliau, pelaksanaan itu kerana ia memberi panduan penting tentang program negara masing-masing dalam mencapai matlamat berkaitan NCD.

 

“Satu daripada pengajaran utama dipelajari dalam menguruskan pandemik COVID-19 ialah keberkesanan pendekatan seluruh negara.

“Begitu juga dalam mencegah dan mengawal NCD, kita memerlukan pendekatan menyeluruh di peringkat nasional dan subnasional dengan kerjasama pelbagai pihak melibatkan kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan masyarakat tempatan,” katanya.

 

WHO

 

Khairy berkata, Malaysia ingin menyokong laporan mengenai deklarasi politik berkaitan pencegahan dan kawalan NCD.

 

“Walaupun adalah luar biasa untuk meletakkan begitu banyak sub-item agenda di bawah satu perkara, terutama apabila NCD menyumbang kepada beban penyakit terbesar dunia, Malaysia memperakui masa yang diperuntukkan untuk membincangkan perkara penting itu,” katanya.

 

Mengenai Agenda Kesihatan Nasional yang dilancarkan baru-baru ini, Khairy berkata, ia melangkaui program promosi kesihatan biasa kerana kerajaan mahu ia menghasilkan pendekatan ‘Kesihatan dalam Semua Polisi’ yang mana setiap pemegang taruh mengutamakan kesihatan selain menggalakkan pelbagai kementerian untuk memikirkan sumbangan mereka kepada agenda kesihatan negara.

 

“Bagaimana persekitaran terbina dan perancangan bandar boleh membawa kepada hasil kesihatan yang baik? Bagaimanakah dasar pertanian meningkatkan kemampuan makanan sihat? Bagaimanakah kita bercakap mengenainya dan bertindak berdasarkan penentu sosial hasil kesihatan? Pendekatan ‘Kesihatan dalam Semua Polisi’ adalah penting untuk hasil yang lebih baik bagi mencegah dan mengawal NCD,” katanya.

 

Malaysia turut bersetuju dengan fokus WHO terhadap penglibatan semua sektor masyarakat, dan Khairy berkata selepas dua tahun dimaklumkan apa yang perlu dilakukan, penduduk memerlukan penglibatan yang membina dan pemerkasaan komuniti untuk menyokong agenda seluruh negara bagi mencegah dan mengawal NCD.

 

“Disebabkan kewujudannya di mana-mana, kami mempunyai akibat tidak diingini daripada pendaftaran seluruh penduduk pada platfrom digital. Kami sedang memikirkan cara menggunakan semula platform digital yang berkuasa ini untuk menawarkan perkhidmatan kesihatan bagi NCD dan kesihatan mental, terutama di peringkat penjagaan kesihatan primer,” kata Khairy.

 

Sebagai rekod, beliau berkata, Malaysia menyokong saranan untuk mengukuhkan pencegahan dan kawalan diabetes serta mencegah dan mengurus obesiti sepanjang hayat, Draf Strategi Global Kesihatan Pergigian, resolusi untuk mempercepat penghapusan kanser serviks dan bersetuju untuk Pelan Tindakan Global Antara Sektoral mengenai Epilepsi dan Gangguan Neurologi Lain.

 

Khairy berkata, Malaysia turut meminta agar kesihatan mental menjadi agenda utama pada masa depan kerana perkara itu patut diberi perhatian oleh WHO, terutama selepas pandemik. – DagangNews.com