Kegilaan apakah berebut kuasa ketika rakyat mati akibat COVID-19? | DagangNews Skip to main content

Kegilaan apakah berebut kuasa ketika rakyat mati akibat COVID-19?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

BERASAP berkepul-kepul seminggu lepas. Awan hitam mencanak tinggi bergulung-gulung ke langit tujuh, bergegar tanah.

 

Lupa sekejap satu dunia masih dan kekal bergelut dengan pandemik COVID-19. Lupa sekejap Malaysia kini berada dalam lingkungan 17,000 kes positif sehari.  Sebab itu tidak salah buat-buat lupa semua ini bila berdemonstrasi beramai-ramai pada Sabtu lepas.

 

Untuk kesekian kalinya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berdepan gesaan supaya meletak jawatan yang sebelum ini atas dakwaan `gagal’ menangani pandemik COVID-19 dan terkini, dilihat bergeseran dengan YDP Agong ekoran isu penamatan Proklamasi Darurat.

 

Merrepak tidak akan menyentuh bab Perlembagaan Persekutuan. Ini kita serah kepada mereka yang arif. Dan lagi, terlalu mendalam tulisan nanti takut dituduh menderhaka pula. Jadi kita fokus bab lain.

 

Soalan yang penting untuk anda fikirkan ialah:

  1. Wajarkah Muhyiddin meletak jawatan, berdasarkan fakta segala usaha dibuatnya dengan pelbagai inisiatif bantuan seperti Permai, Pemerkasa.
     

  2. Persoalan `darurat’ ini berkait dengan larangan diadakan pilihan raya sepanjang tempoh kuatkuasa, sama seperti di Sarawak yang baru diisytiharkan sehingga Februari 2022. Ini bagi mengelak berulangnya kes pilihan raya Sabah tahun lalu. Jadi apa sebenarnya yang jadi isu sekarang? Teknikal? Atau gembar-gembur jadi senjata politik?
     

  3. Soalan maha penting: jika Muhyiddin berundur, siapa layak ambil alih?

 

 

Sementara anda memikirkan tiga soalan mudah di atas, anda disaran menggunakan fakta-fakta sahih sebagai landasan untuk anda buat keputusan. Nak guna fakta emosi boleh, kepartian boleh. Tapi sama ada anda dapat mencapai `keputusan berobjektif dan waras’, itu anda tanya di Facebook sahaja.


 

merrepak

 

Berikut adalah calon-calonnya kalau layak:
 

  1. Calon UMNO

Semua tahu gesaan supaya Muhyiddin berundur begitu lantang daripada Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga `rakan setidur mimpi lain-lain’ iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

 

Anwar mewakili suara parti-parti Pakatan Harapan. UMNO pula tidak pasti. Walaupun memiliki 38 ahli Parlimen, khabarnya ada tiga fraksi sekarang. Satu fraksi menyokong Zahid Hamidi. Satu lagi menyokong Bersatu dan satu lagi tidak sokong Bersatu.

 

Andai Muhyiddin berundur, siapakah daripada kalangan UMNO yang layak ambil alih kerusi Ketua Eksekutif Negara ini?

 

Nanti sekejap, bagaimanakah hendak ambil alih seandainya Bersatu beralih haluan pula daripada UMNO, menyebabkan Perikatan Nasional hilang majoriti yang sudah sedia kala tipis sekarang?

 

  1. Anwar Ibrahim

Samalah persoalan kepada Anwar. Bagaimana beliau boleh jadi Perdana Menteri sedangkan komposisi Pakatan Harapan (PH) pun tidak mencukupi.

 

Keajaiban berlaku seandainya UMNO menyokong Anwar menjadi PM. Itu hanya berlaku jika ada yang buat-buat lupa ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 bahawa `No Anwar, No DAP’.

 

Katakanlah Anwar memperoleh sokongan fraksi tertentu UMNO, lagi sekali ia menjadi kemelut. Ini kerana DAP, rakan baik PKR terbesar dengan 42 wakil rakyat telah mengisytiharkan perkara sama iaitu tidak akan bekerjasama dengan UMNO, yang dilabelnya sebagai parti perkauman dan rasuah. UMNO pun sama label DAP sebuah parti perkauman dan rasuah. Samalah.

 

Katakanlah, Anwar dapat memujuk fraksi UMNO dan DAP menyokongnya menjadi PM, ramai akan bertaruh kerajaan Anwar dapat bertahan paling lama 12 bulan. Dan COVID-19 yang kita hadapi ini bukan tamat Disember 2021, ya.

 

  1. Ismail atau Hisham

Satu lagi kemungkinan (secara ilmiah, bukan emosi) katakanlah pemimpin sedia ada UMNO dalam kerajaan iaitu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atau Menteri Kanan Luar Negara Datuk Seri Hishammuddin Hussein dapat melakukan coup menyingkirkan Muhyiddin, belum tentu Zahid akan setuju.

 

  1. Tun Mahathir

Bagaimana pula Tun Dr. Mahathir Mohamad? Dengan hanya empat wakil dari parti Pejuang dan anak angkat kemanjaannya, Syed Saddiq pun keluar buat parti sendiri, tidak mungkin dapat mengambil balik jawatan yang dilepaskan atas kerelaannya sendiri pada Februari 2020.

 

Lagi pun, jika ini berlaku... ramai akan mengetawakan Anwar sampai ke akhir hayat.

 

Jadi, siapa sebenarnya layak?

Kalau daripada segi teknikal adalah mustahil, tidak usahlah mengomel guna emosi pula.

 

Yang nyata, gesaan berundur sekarang mirip kepada dasar `singkirkan Muhyiddin dulu, hal pengganti kita fikir kemudian’. Dasar pembunuhan politik ini telah berlaku pada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2018. Lupakah?

 

Jadi sekarang kita nak buat balik? Singkirkan Muhyiddin dengan apa cara sekali pun, biar kacau-bilau program melawan COVID-19, biar ditukar sekali para pegawai awam kerajaan yang telah berhempas-pulas sejak mula pandemik meletus dulu. Siapa pengganti, itu bincang kemudian. Begitu ya?

 

Kita rakyat marhain

Kita tidak perlu berhujah ala penganalisis politik Phd atau saintis politik. Kita bincang guna ayat dan bahasa orang biasa, marhain.

 

Kita kata, “Rupa-rupanya PM baru kelak boleh jamin kes positif COVID-19 turun ke 4,000 sahaja dan seterusnya kita boleh masuk Fasa 2 bulan ini, dan Fasa 3 bulan depan dan hei....Oktober boleh buat Pilihan Raya Umum. Sarawak boleh buat serentak...”

 

Kita rakyat marhain boleh bertanya: “Kegilaan apakah ini orang politik sibuk berebut kuasa ketika kaum keluarga aku mati akibat COVID-19?”

 

“Kegilaan khinzir apakah berpolitik ketika satu demi satu sahabat baik aku mati disebabkan COVID-19, sedang aku ketakutan duduk diam di rumah.

 

“Kebodohan apakah terjadi kepada wakil rakyat aku berpolitik sedangkan COVID-19 di seluruh dunia masih mencanak-canak merebak. Apakah mereka fikir selepas tumbangkan kerajaan, mereka boleh mencipta keajaiban, hapuskan COVID-19 dari muka bumi Malaysia?”.

 

Bagi kebanyakan rakyat marhain, rumusannya ialah nak tukar kerajaan atau PM tunggulah pandemik COVID-19 ini dapat benar-benar terkawal dulu.

 

Tolonglah. COVID-19 ini benar. Kau belum kena pada diri sendiri, belum kena anak bini, mak bapa, sahabat handai. Kau belum kena sekarang, Syukur Alhamdulillah. Fokuslah usaha tangani pandemik. Ketepikan dulu politik.

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim sebagai Pengarang Urusan DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Can't Fight This Feeling oleh REO Speedwagon berulang-ulang kali. 

 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.