Kaedah saringan saham berbeza, kepatuhan tetap sama | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 14 December 2021

Kaedah saringan saham berbeza, kepatuhan tetap sama

 

 

DI MALAYSIA, kaedah saringan saham patuh syariah berada di bawah Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Berbeza dengan pasaran global, terdapat beberapa institusi indeks seperti Dow Jones Islamic Indexes, FTSE Shariah Global Equity Index Series dan MSCI Islamic Index Series, yang mempunyai kaedah saringan saham patuh syariah mereka. 

 


Perbincangan tentang kaedah saringan ini penting kepada pengurus-pengurus dana dalam industri kewangan Islam kerana ia menjadi agenda utama dalam operasi harian mereka untuk memastikan dana-dana patuh syariah dapat distrategi dan dilaburkan bagi mendapat keuntungan setinggi mungkin. 

 

Sehubungan itu, penulis telah menjalankan kajian bagi menganalisis usaha ke arah penyeragaman kaedah saringan saham di SC dan institusi indeks global ini. 

 

Ini kerana isunya, status saham patuh syariah yang tidak konsisten di antara institusi indeks telah menimbulkan kekeliruan para pemain industri untuk memilih saham. 

 

Kaedah saringan saham yang berbeza antara institusi indeks menyebabkan status patuh syariah sesuatu saham itu tidak seragam di pasaran. 

 

Isu ini telah lama dipersoalkan. Dalam masa 5 tahun penulis mengkaji dan mengenal pasti cadangan-cadangan ke arah penyeragaman kaedah saringan yang digunakan SC dan institusi indeks global. 

 

Penulis menggunakan kaedah kualitatif kerana isu ini berkait rapat dengan fenomena baharu yang memerlukan pencungkilan maklumat tentang kaedah saringan saham patuh syariah daripada para pakar dalam industri kewangan Islam yang mempunyai akses kepada maklumat yang lebih jelas dan terperinci. 

 

Sebanyak 9 pakar yang diiktiraf termasuklah Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, Wan Abdul Rahim Kamil Wan Mohamed Ali, Prof. Madya Dr. Aznan Hasan, Norfadelizan Abdul Rahman dan Jalil Rasheed serta pakar dalam bidang saham patuh syariah, telah ditemu bual sebagai responden. 

 

Hasilnya, penulis mendapati kaedah saringan yang digunakan oleh institusi indeks adalah konsisten di antara satu sama lain. Mereka menggunakan tapisan sektoral, aktiviti syarikat dan nisbah kewangan. 

 

Malah, penulis juga mendapati bahawa tujuan saringan sebenarnya adalah untuk mencapai matlamat yang berbeza, namun ia masih mencapai kepatuhan syariah saham dalam pelbagai negara di pasaran dunia. 

 

Oleh demikian, penulis merumuskan pengharmonian pendapat syariah dengan menyemai lebih banyak persamaan ijtihad antara penasihat syariah dapat membuat para pemain industri mengakui hakikat bahawa perbezaan kaedah saringan sebenarnya membawa kepada lebih banyak kebaikan berbanding kemudaratan. 

 

Hasil kajian ini menghasilkan impak yang positif kepada pelbagai sektor dalam industri untuk memastikan kesinambungan perkembangan kewangan Islam agar tidak terbantut dengan isu ketidakseragaman kaedah saringan saham patuh syariah yang dibangkitkan. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm
 

Portfolio Tags