Sombong zahir, sombong batin dan angkuh semuanya sifat tercela
Sifat sombong adalah sifat ‘mazmumah’ (tercela) dalam Islam.
Sombong merupakan perilaku yang lahir dalam diri seseorang yang menolak kebenaran dan meremehkan atau merendahkan kepandaian, kelebihan atau kejayaan orang lain.
Imam al-Ghazali membahagikan sifat sombong kepada dua, iaitu sombong zahir dan sombong batin. Sombong zahir dilihat melalui amal perbuatan yang terbit daripada anggota tubuh badan seperti bermasam muka.
Manakala sombong batin dilihat melalui perlakuan jiwa seseorang seperti berasa diri lebih tinggi ilmu dan mulia berbanding orang lain.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak diragukan lagi bahwa sesungguhnya Allah mengetahui setiap yang mereka rahsiakan dan setiap yang mereka zahirkan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong.” (Surah al-Nahl: 23)
Selain itu, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (karena sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (Surah Luqman: 18)
Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sombong itu menolak kebenaran dan menghina orang lain.” (Riwayat Muslim)
Al-Quran telah merakamkan pelbagai kisah kesombongan untuk dijadikan pengajaran dan iktibar masyarakat Islam. Terdapat kisah iblis yang tidak mahu sujud kepada Nabi Adam AS sebagai tanda hormat dan memuliakan kerana kesombongan.
Begitu juga, umat terdahulu seperti kaum Nabi Nuh, kaum Nabi Hud, kaum Nabi Saleh dan kaum Nabi Lut yang kesemuanya dibinasakan oleh Allah SWT kerana kesombongan menolak ajaran dan syariat yang telah dibawa oleh para Nabi AS.
Secara prinsip dan asasnya, sifat sombong dapat diklasifikasikan kepada tiga aspek iaitu:
Pertama, sombong terhadap Allah SWT iaitu enggan mematuhi dan mentaati segala hukum dan perintah-Nya. Contohnya ialah Firaun, Namrud dan semua manusia yang mendakwa diri bersifat ketuhanan.
Kedua, sombong terhadap Nabi SAW iaitu enggan mematuhi dan mengikuti ajaran yang disampaikan oleh Nabi SAW.
Ketiga, sombong terhadap manusia iaitu mementingkan diri sendiri dan bangga dengan segala yang dimilikinya.
Seterusnya, imam al-Ghazali telah menjelaskan bahawa perkara yang menyebabkan seseorang itu memiliki sifat sombong ialah:
1. Ilmu pengetahuan
Individu yang berilmu atau berpendidikan tinggi berpotensi merasa dirinya yang paling pandai apabila dibandingkan dengan orang yang tidak berilmu atau berpendidikan.
2. Kemuliaan
Individu yang menganggap dirinya lebih mulia dan tinggi darjatnya berbanding orang lain yang dianggap hina.
3. Kecantikan dan ketampanan wajah
Ini menyebabkan wujud perasaan merendahkan orang lain dengan kesempurnaan diri.
4. Harta dan kekayaan
Golongan ini boleh jadi meremehkan golongan fakir dan miskin yang banyak meminta dan mengemis.
5. Kekuatan dan kekuasaan
Melalui kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki menjadikan seseorang dapat berbuat sewenang-wenangnya terhadap orang lain.
6. Ramai pengikut
Memiliki jumlah yang besar dalam konteks pengikut seperti dalam kalangan teman sejati, kaum kerabat yang mempunyai kedudukan yang tinggi.
Demikianlah, sifat sombong merupakan penyakit hati yang boleh membawa kepada kebinasaan dan kerosakan kepada diri individu itu sendiri. Sifat ini bukan sahaja tidak disukai dan dihormati oleh manusia bahkan dibenci oleh Allah SWT.
Sebaliknya, masyarakat Islam perlu cuba merendah diri dengan memaksa hati untuk merasa dan mengakui kelemahan dan kekurangan sebagai manusia biasa. - DagangNews.com
DR. AZRI BHARI merupakan Pakar Rujuk, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor.