IPC Shopping Centre perluas strategi hijau untuk lindungi alam sekitar | DagangNews Skip to main content

IPC Shopping Centre perluas strategi hijau untuk lindungi alam sekitar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusannya ke arah mewujudkan persekitaran yang lebih lestari, IPC Shopping Centre telah menggariskan beberapa strategi hijau yang akan memberikan impak positif kepada perniagaannya, orang ramai dan bumi. 

 

Selaras dengan Agenda Kelestarian Kumpulan Ikano dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk 2030, IPC Shopping Centre memastikan bahawa perniagaannya dijalankan secara adil & inklusif, positif kitaran & iklim, dan menggalakkan kehidupan yang sihat & lestari.

 

Pengurus Besar IPC Shopping Centre, Karyn Lim berkata, mereka adalah salah satu daripada segelintir pusat beli-belah di Malaysia yang aktif mempromosikan kelestarian dan menjalankan pelbagai program kitar semula yang disertai oleh anggota masyarakat. 

 

"Tahun ini, IPC Shopping Centre telah menambah baik dan mengembangkan lagi inisiatif kelestarian perniagaannya yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan air & tenaga dan kitar semula. Selaras dengan usaha kami untuk terus mengembangkan perniagaan, kami kekal komited ke arah mencipta kesan positif terhadap alam sekitar dan kesejahteraan sosial masyarakat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Salah satu daripada inisiatif paling lestari yang dimulakan oleh IPC Shopping Centre ialah pelaburannya dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui sumber grid dan projek pengurangan karbon bagi membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. 

 

Sistem fotovolta (PV) menyalurkan elektrik yang dijana oleh panel solar terus ke papan pengagihan elektrik utama IPC. Tenaga elektrik yang dijana oleh panel solar tersebut mengimbangi tenagaelektrik daripada grid dan mengurangkan bil elektrik IPC secara signifikan. 

 

Baru-baru ini, IPC telah mengoptimumkan kawasan bumbungnya dengan mengembangkan sistem PV menerusi pemasangan 810 panel solar tambahan, menjadikan jumlah keseluruhannya 2,370 panel solar. Pengembangan ini menyumbang kepada kira-kira 7% penjimatan tenaga elektrik tahunan oleh IPC Shopping Centre.

 

Satu lagi inisiatif yang wajar diberi perhatian dalam perjalanan IPC ke arah menjadi lebih mesra alam ialah pendigitalan Pusat Kitar Semula & Beli Balik atau Recycling & Buy-Back Centre (RBBC) yang terletak di kawasan tempat letak kereta P1 pusat beli-belah itu. 

 

RBBC yang telah dinaiktaraf itu akan menampilkan wajah baru dan dipertingkatkan serta fungsi tambahan seperti sistem penimbangan automasi layan diri dan sistem “beli balik” digital menerusi kutipan mata program kesetiaan pelanggan ‘Tack Points’, yang memberikan pengalaman kitar semula yang lebih baik dan lancar kepada masyarakat celik alam sekitar. 

 

Dengan pembukaan semula RBBC yang telah dinaiktaraf di IPC pada Jun 2022, para pelanggan boleh terus menghantar bahan kitar semula mereka, di mana ahli Tack Club (ahli program kesetiaan pelanggan IPC Shopping Centre) layak untuk mengutip mata di dalam aplikasi IPC mereka dengan menimbang bahan kitar semula mereka dan menukarkannya bagi mendapatkan ganjaran dan e-baucar membeli-belah. 

 

Waktu operasi RBBC IPC juga akan dilanjutkan dari 8:00 pagi hingga 10:00 malam setiap hari, bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah. - DagangNews.com