KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kadar inflasi yang terus meningkat 4.4% pada Julai 2022 dilihat akan mendorong kepada kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas menjelang akhir tahun ini.
Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidik AmBank Research, Dr Anthony Dass berkata, peningkatan inflasi itu adalah lebih pantas berbanding bulan sebelumnya pada 3.4%, dengan harga berasaskan bulan ke bulan meningkat 0.4%.
Pada kadar itu, katanya, ia menjadikan inflasi setakat ini meningkat kepada 2.8%, yang mana ia berada dalam julat unjuran firma penyelidikan itu antara 2.8% hingga 3.2% bagi tahun ini.
Beliau juga mendapati pertumbuhan gaji kepada sektor penting juga tinggi termasuk pembuatan yang meningkat 2.4% manakala perkhidmatan turut meningkat 4.2% pada Jun.
"Gabungan faktor-faktor ini boleh memberi tekanan kepada permintaan yang mendorong kepada inflasi, sesuatu yang sedang diperhatikan dengan teliti oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
"Atas sebab itu, kami percaya bank pusat akan mengambil satu lagi langkah awal untuk meningkatkan OPR sebanyak 25 mata asas dalam mesyuaratnya pada September, dan kemungkinan lagi 25 mata asas (40% kebarangkalian) dalam mesyuarat November ini, menjadikan kadar faedah kepada 2.75% menjelang akhir tahun ini," katanya dalam nota kajian ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kadar inflasi Malaysia kini di paras 4.4% - Jabatan Perangkaan

Data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan semalam menunjukkan inflasi Malaysia, yang diukur daripada Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 4.4% kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, didorong kenaikan harga makanan.
Indeks makanan yang meningkat 6.9% kekal menjadi penyumbang utama kenaikan inflasi pada Julai. Peningkatan ini disumbangkan terutamanya oleh peningkatan restoran & hotel (0.8%) dan makanan & minuman bukan alkohol (0.7%).
Peningkatan inflasi pada bulan tersebut juga disebabkan kesan asas yang lebih rendah pada tahun lalu berikutan pemberian diskaun bil elektrik daripada 5 hingga 40% mengikut jumlah penggunaan kepada pengguna domestik di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) pada Julai sehingga September 2021.
Menurut Dass, walaupun harga siling ditetapkan untuk beberapa barangan makanan, termasuk ayam (harga siling pada RM9.40 sekilogram) dan telur (siling harga bergantung pada gred), tetapi didapati harga tersebut melebihi siling sepanjang tahun.
Katanya, pada Julai, harga sebenar untuk ayam 1 kilogram (kg) ialah RM9.94/kg, iaitu 5.7% lebih tinggi daripada harga siling manakala harga telur bagi semua gred juga 3 sen lebih tinggi daripada harga siling.
"Isu bekalan mungkin mereda mulai Julai sejak indikator tekanan rantaian bekalan menunjukkan trend menurun sepanjang bulan, apatah lagi harga komoditi dan makanan global juga menurun kepada paras yang sama sebelum tercetusnya perang Rusia-Ukraine.
"Ini boleh menjadi faktor yang menurunkan tekanan inflasi. Selain itu, Indeks Harga Pengeluar (PPI) susut kepada 7.6% tahun ke tahun, kadar paling perlahan sejak Mac 2021," jelasnya.

Namun, beliau berkata, peningkatan terhadap tekanan inflasi boleh disebabkan daripada susut nilai ringgit yang boleh mendorong kos import lebih tinggi.
Ini kerana katanya, dolar Amerika Syarikat (AS) mendapat manfaat daripada tindakan Rizab Persekutuan AS yang agresif dan tumpuan kepada aset selamat disebabkan situasi ketegangan geopolitik.
"Bagaimanapun, kebimbangan adalah lebih kepada permintaan yang mendorong inflasi apabila pasaran buruh bertambah baik," katanya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank (IB) Research menyemak semula unjuran kadar inflasi pada 2022 dan 2023 masing-masing kepada 3.3% dan 4% berbanding 3.4% dan 4.1% sebelum itu selepas mengambil kira kenaikan kadar inflasi setakat ini.
Unjuran itu turut mempertimbangkan impak daripada pengumuman dan jangkaan rasionalisasi harga subsidi bagi makanan utama, bahan api dan tenaga seperti memansuhkan harga subsidi bagi minyak masak botol pada Julai 2022 termasuk jangkaan beberapa pelarasan harga bahan api dan tarif elektrik berikutan semakan semula subsidi pada 2023.
Menurut firma itu, BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 50 mata asas dalam mesyuaratnya pada September dan November ini menjadikan kadar faedah itu kepada 2.75% menjelang akhir tahun.
Ini berikutan daripada jangkaan kenaikan kadar inflasi memandangkan pertumbuhan ekonomi yang lebih kukuh pada suku kedua.
"Kami turut menjangkakan kenaikan 25 mata asas pada awal tahun hadapan, menjadikan kadar tersebut kepada paras sebelum pandemik COVID-19 pada 3.00% menjelang akhir suku pertama 2023," jelasnya. - DagangNews.com








