Inflasi kekal positif lima bulan berturut-turut, meningkat 3.4% pada Jun | DagangNews Skip to main content

Inflasi kekal positif lima bulan berturut-turut, meningkat 3.4% pada Jun

Inflasi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - Indeks Harga Pengguna (IHP) yang merupakan penanda aras kepada inflasi negara menunjukkan peningkatan 3.4% pada bulan Jun 2021.

 

IHP Jun meningkat kepada 123.2 berbanding 119.1 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, IHP kekal positif untuk bulan kelima berturut-turut sejak Februari 2021.

 

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin

 

"Ia disebabkan oleh kesan asas yang rendah pada tahun lalu akibat penyusutan harga bahan api untuk kenderaan persendirian. Kumpulan pengangkutan (16.6%) merupakan penyumbang utama kepada kenaikan inflasi keseluruhan. 

 

"Ini diikuti oleh Perumahan, Air, Elektrik, Gas & Bahan Api lain (3.2%); Hiasan, Perkakasan & Penyelenggaraan Isi Rumah (2.0%) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol (1.3%)," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mengikut perbandingan bulanan pula, IHP turut meningkat 0.1% berbanding Mei 2021.

 

Peningkatan tersebut disumbangkan makanan & minuman bukan alkohol (0.3%) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (0.1%).

 

Tambah beliau, momentum yang perlhan itu adalah kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) dan penutupan operasi bagi sektor bukan perlu yang dilaksanakan sepanjang Jun 2021 sedikit sebanyak meredakan tekanan inflasi.

 

Sementara itu, IHP bagi suku tahun kedua 2021 meningkat 4.1% kepada 123.1 berbanding 118.2 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

 

Bagi perbandingan suku tahunan pula, IHP mencatatkan peningkatan 0.5% berbanding suku tahun pertama 2021.

 

Mengulas perkara sama, MIDF Research berkata, pihaknya mengekalkan unjuran inflasi sebanyak 2.3% bagi tahun 2021.

 

Unjuran tersebut adalah lebih tinggi berbanding 1.1% pada 2020.

 

"Dalam kami melihat peningkatan inflasi kepada 4.2% tahun ke tahun pada suku kedua 2021, kami menjangkakan inflasi akan menjadi lebih sederhana disebabkan oleh kesan asas yang rendah.

 

"Meskipun perintah berkurung di seluruh negara memberi kesan sementara kepada ekonomi, trend permintaan yang rendah mampu menyebabkan kekurangan tekanan harga utama.

 

"Bagaimanapun, permintaan secara keseluruhannya mampu meningkat pada akhir tahun ini ketika ekonomi mula dibuka semula setelah beralih ke fasa seterusnya di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN)," jelas MIDF Research. - DagangNews.com