Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Apa Kata Media Cina - 4 December 2021

INFLASI DATANG LAGI?

Sin Chew Jit Poh, 2 Dis 2021

 

 

HARGA barang naik! Berita yang paling menakutkan selain daripada kemunculan varian baharu COVID-19.

 

Bukan sekadar harga roti naik, ais batu, minyak, garam, cuka, daging, makanan laut, sayur dan buah-buahan yang tidak bermusim juga menjadi mahal.

 

Persatuan pengguna membuat ramalan semua barangan keperluan harian terutamanya makanan dijangka akan meningkatkan sebanyak 20% hingga 200% pada tahun 2022.

 

Melihat kepada peratusan ini, adakah negara akan memasuki era inflasi?

 

Menurut penjelasan pakar, inflasi berlaku bila ada industri, barangan atau perkhidmatan yang berbeza telah menaikkan harga dengan kadar dan tempoh yang berbeza.

 

Tetapi jika semua komoditi terus meningkat pada masa yang sama, maka keadaan ini telah memasuki hiper-inflasi yang kritikal.

 

Keadaan kita masih belum sampai ke tahap kritikal, jika tidak mampu makan makanan yang mahal boleh sahaja pilih harga yang lebih rendah, tidak perlu berebut beli makanan longgok.

 

Tetapi jika sekeping wang kertas hanya boleh membeli sebuku roti, pasti berat untuk rakyat menanggungnya.

 

Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu campur tangan dan menyelia untuk mengenal pasti punca kenaikan harga, segera mencari penyelesaian bagi mengelakkan kesan berantai.

 

 

cina

 

 

Trend kenaikan ini sebenarnya adalah fenomena global dan saling berkaitan.

 

Sebagai contoh, kenaikan harga sayur-sayuran tempatan adalah berkait dengan kenaikan harga baja dan racun serangga antarabangsa. Begitu juga dengan harga ayam dan ternakan yang tinggi kerana dedak import mahal.

 

Langkah sekatan menyebabkan permintaan domestik meningkat dan kebanyakan negara masih bergantung kepada import bagi memenuhi permintaan.

 

Bencana alam menjejaskan hasil tuaian, kekurangan tenaga kerja penternakan dan pertanian, permintaan melebihi penawaran, ditambah lagi dengan kenaikan dolar, sudah tentu harga bekalan barangan juga akan meningkat.

 

Ini adalah detik penting untuk KPDNHEP memainkan peranan aktif, bukannya bertindak seperti pasukan bomba memadam api bila berlaku kebakaran.

 

Kementerian harus mengambil inisiatif  untuk menyekat ‘jerung-jerung’ yang cuba menghimpit rakyat di dalam kesempitan.

 

Selain mewujudkan mekanisme khusus untuk menstabilkan harga barang keperluan asas, penyediaan bantuan khas untuk menyerap kos di peringkat pengeluar dan pemborong bagi menstabilkan harga sayur, ayam, telur dan sebagainya.

 

Penyelesaian dilema inflasi memerlukan kerja jangka panjang. Sudah tiba masanya untuk kita merancang pengeluaran makanan ternakan dan racun serangga, dalam usaha mempelbagaikan tanaman dan produk tempatan agar tidak bergantung kepada import semata-mata.

 

Di samping itu, kerajaan juga perlu memastikan subsidi disampaikan kepada rakyat yang benar-benar memerlukannya.

 

 

kpdnhep

 

 

Di luar negara, kerajaan akan membantu petani mempromosikan hasil pertanian  sesuatu musim agar rakyatnya dapat membeli dengan harga murah dan petani juga tidak akan rugi dalam situasi menang-menang ini.

 

Tiada siapa yang tahu berapa lama gelombang inflasi kali ini. Kita perlu menerima hakikat keadaan ini berlaku kerana kebanyakan negara memilih untuk hidup bersama dengan virus dan rakyat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

 

Keadaan yang membawa kepada permintaan melebihi penawaran. Terdapat juga beberapa faktor lain, antaranya ringgit lemah dan barang import yang dibeli menjadi mahal.

 

Ramai peniaga yang dulunya berlumba-lumba di lubuk TaoBao, melahirkan kebimbangan lambat laun Ringgit Malaysia akan jatuh 1 kepada 1 Yuan Renminbi China.

 

Buatan Malaysia

Satu lagi faktor adalah jenama Buatan Malaysia tidak menunjukkan masa depan yang cerah meskipun selama berdekad kempen dilancarkan dan kerajaan juga telah bertukar beberapa kali.

 

Walaupun ada jenama Malaysia yang mempunyai pencapaian cemerlang di arena antarabangsa, tetapi asas pembuatan sebenarnya adalah daripada China.

 

 

PM

 

 

Kebergantungan kepada bahan mentah import untuk diproses menjadi produk siap tidak akan  menyelesaikan masalah kenaikan harga.     

 

Dalam gelombang kenaikan harga ini, peniaga jika diberi pilihan pastinya mereka mahu berdiam diri kerana bimbang keadaan ini akan menjejaskan kuasa jual beli mereka.

 

Lebih-lebih lagi bagi peniaga yang baru kembali menapak semula perniagaan selepas penularan pandemik COVID-19, kenaikan harga secara mendadak pasti menjejaskan pendapatan.

 

Rakyat perlu menjadi pengguna yang bijak dan kerajaan pula harus mengurus dengan bijak, sama-sama untuk memperbaiki keadaan ekonomi negara. 

 

 

Rencana ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, 2 Disember 2021 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

 

Portfolio Tags