Potensi besar genre kanak-kanak di Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 17 June 2022

Potensi besar genre kanak-kanak di Malaysia

 

 

APABILA membicarakan mengenai industri kandungan di Malaysia, saya melihat satu genre yang jarang dibincangkan secara berfokus, namun mempunyai potensi besar untuk diteroka iaitu kandungan kanak-kanak.

 

Kandungan kanak-kanak, tidak kira sama ada animasi mahupun live action merupakan sebuah genre yang cukup menarik dari pelbagai aspek untuk pembangunan kandungan bagi melibatkan diri.

 

Tidak ramai yang mengambil peluang untuk menceburi secara serius bagi kandungan dalam genre ini, namun sebilangan kecil syarikat yang mengambil langkah berani ke hadapan telah membuktikan potensi besar genre ini.

 

Salah satu syarikat yang berjaya membuktikan hal tersebut adalah sebuah syarikat pemula (startup) tempatan, Durioo Sdn Bhd yang bukan sekadar menerbitkan kandungan, malah membangunkan platform penstriman (OTT) kanak-kanak Islamik.

 

Menarik perhatian apabila syarikat ini telah diterima menyertai program pemecut (accelarator) terkemuka dunia iaitu Y Combinator di Silicon Valley.

 

Penerimaan syarikat yang membangunkan platform Durioo+ ini membuktikan kepercayaan pelabur modal teroka antarabangsa terhadap kandungan kanak-kanak, meskipun hanya memfokuskan kepada kanak-kanak Muslim.

 

Ini pastinya apabila mereka menyedari bahawa sejumlah 400 juta kanak-kanak Muslim yang ada di seluruh dunia merupakan sebuah pasaran yang signifikan untuk diteroka.

 

Tambahan pula, teraju Durioo+ terdahulu telah berjaya membuktikan potensi tersebut apabila membangunkan sebuah jenama kandungan kanak-kanak Islamik iaitu Omar & Hana yang berjaya ditayangkan di 25 buah negara.

 

Omar & Hana juga mendapat dua bilion tontonan dan 3.3 juta pengikut di saluran Youtube. Ia pencapaian yang besar apatah lagi kerana ia baru dilancarkan kira-kira lima tahun lalu.


 

Durioo+

 


Melihat kepada trend di Eropah, program televisyen dan kandungan digital untuk kanak-kanak bukan sekadar sebuah pasaran – tetapi mampu berdiri sebuah industri – sehingga ia mempunyai  organisasi, prosedur dan perundangan kawal selia tersendiri yang khusus bagi industri kandungan kanak-kanak.

 

Ia terutamanya bagi menjaga kepentingan kanak-kanak yang menjadi subjek dalam kandungan, memandangkan hak dan isu kanak-kanak adalah isu yang dikendalikan secara serius di negara-negara maju.

 

Tidak sekadar di platform televisyen dan penstriman berbayar, malah platform atas talian percuma seperti Youtube membuktikan kandungan kanak-kanak mencatatkan penontonan yang tinggi.

 

Ia juga membantu saluran seperti Like Nastya yang menampilkan seorang kanak-kanak Rusia, Anastasia Radzinskaya, bukan sekadar membuat keuntungan besar  malah mampu membina empayar jenamanya ke seluruh dunia.


 

Like Nastya

 

Salah satu yang membantu penontonan yang tinggi ini adalah kerana sifat penontonan kanak-kanak yang gemar menonton berulang-ulang kali, sekaligus membantu dalam penjanaan pendapatan berasaskan kadar penontonan di platform ini.

 

Malah, segmen pengiklanan bagi produk kepenggunaan kanak-kanak cukup besar, memandangkan kanak-kanak mempunyai kepercayaan tinggi terhadap imej atau jenama yang akrab dengan kandungan kegemaran mereka.

 

Pada ketika daya beli keluarga masa kini yang semakin meningkat, memenuhi kehendak anak-anak merupakan salah satu keutamaan bagi ibu bapa – juga membantu meningkatkan nilai serta `sales conversion` bagi pengiklanan dalam kandungan kanak-kanak.

 

Dengan segala potensi yang ada pada program televisyen dan kandungan untuk kanak-kanak, saya melihat pembangun kandungan tempatan masih kurang yang melihat peluang dalam genre ini bagi diteroka secara serius.

 

Malah, bagi pasaran niche untuk kandungan kanak-kanak berbahasa Malaysia, masih terdapat kelompongan yang boleh diisi, sebagai alternatif kepada sekian banyak kandungan kanak-kanak berbahasa Inggeris dalam pasaran.


 

omar dan hana

 


Secara peribadi, saya sendiri kini sedang berusaha untuk mencari jalan serta pendekatan yang sebaiknya untuk menekuni genre ini untuk jangka masa panjang.

 

Pengalaman berpeluang menerbitkan beberapa kandungan kanak-kanak untuk pelanggan sebelum ini membantu saya untuk melihat lebih jelas bagaimana harta intelek (IP) bertema kanak-kanak mampu dieksploitasi sebaiknya, bukan sekadar bagi tujuan keuntungan perniagaan, tetapi juga bagi manfaat pembangunan generasi masa depan.

 

Dengan kandungan merupakan platform berpengaruh dalam masyarakat hari ini termasuklah kanak-kanak, kita mampu memainkan peranan sosial melalui kandungan kanak-kanak yang positif, sekaligus mengurangkan risiko pendedahan golongan ini kepada nilai yang tidak selari dengan budaya tempatan sekiranya kita masih mengekalkan kebergantungan yang tinggi terhadap kandungan kanak-kanak dari luar negara.

 

Ini semua membuktikan bahawa kandungan untuk kanak-kanak adalah sesuatu yang berpotensi besar serta wajar diteroka oleh pembangun kandungan di Malaysia. - DagangNews.com

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
Portfolio Tags