KUALA LUMPUR 23 Mei - Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) baharu untuk membuka laluan kepada kerjasama kawal selia, penguatkuasaan dan pengawasan yang lebih besar antara kedua-dua pengawal selia berkenaan.
Berikutan persekitaran perniagaan yang kian berubah serta perkembangan kawal selia dan dasar baharu, kerjasama tersebut adalah berasaskan dan mengukuhkan lagi Memorandum Kerjasama dan Bantuan Bersama yang ditandatangani oleh kedua-dua agensi pada 2004.
Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, kerjasama ini merupakan inisiatif penting untuk mengembangkan pasaran modal dan mencapai kerjasama dan sinergi yang lebih besar antara SC dan Labuan FSA.
Katanya, penyeliaan dan pengawasan sentiasa menjadi teras kepada mana-mana mandat pengawal selia.
"Peningkatan kerjasama ke arah membina persekitaran kawal selia yang kukuh, inovatif dan stabil akan memacu pertumbuhan segmen pasaran sedia ada dan baharu serta memanfaatkan pasaran, peserta dan pelabur," katanya dalam kenyataan hari ini.
MoU tersebut ditandatangani Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SC, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidi dan Pengerusi Labuan FSA, Datuk Siti Zainab Omar.
Kerjasama itu meneguhkan komitmen kedua-dua pengawal selia untuk memastikan pasaran modal Malaysia kekal relevan dan mencapai hasil yang diharapkan untuk semua pihak berkepentingan.
MoU tersebut, yang merangkumi aktiviti pembangunan dan pengawalseliaan pasaran modal di Malaysia, membolehkan SC dan Labuan FSA mengukuhkan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama, termasuk pemantauan risiko dan meningkatkan kestabilan pasaran modal.
Ia juga akan meningkatkan penyediaan bantuan teknikal, pembinaan kapasiti dan pertukaran maklumat antara kedua-dua pengawal selia.
Sementara itu, Siti Zainab berkata, MoU itu akan membuka jalan kepada SC dan Labuan FSA untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang telah lama terjalin.
"Ini dapat memastikan pembangunan industri pasaran modal di Labuan IBFC dan landskap pasaran modal Malaysia,” jelasnya. - DagangNews.com








