KUALA LUMPUR 26 Jun - Jentayu Sustainables Berhad akan menamatkan operasi Bahagian Penjagaan Kesihatannya susulan cadangan pelupusan keseluruhan pegangan ekuiti dalam anak syarikat milik penuhnya, Ultimate Forte Sdn. Bhd., bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan teras dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata penamatan operasi bahagian berkenaan dijangka selesai menjelang akhir Julai 2026, tertakluk kepada penyempurnaan cadangan pelupusan yang diumumkan pada 26 Jun 2026.
Menurut syarikat itu, keputusan tersebut dibuat selepas Lembaga Pengarah menilai prospek perniagaan masa depan kumpulan serta prestasi kewangan lampau.
"Lembaga berpandangan bahawa penamatan operasi Bahagian Penjagaan Kesihatan adalah demi kepentingan terbaik kumpulan bagi membolehkan syarikat menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaan teras dalam tenaga boleh diperbaharui," katanya.
Jentayu berkata, langkah itu selari dengan strategi jangka panjang kumpulan untuk memperkukuh kedudukannya dalam sektor tenaga hijau, yang kini menjadi pemacu utama pertumbuhan syarikat.
Cadangan pelupusan melibatkan penjualan 100% kepentingan ekuiti dalam Ultimate Forte Sdn. Bhd., sekali gus menandakan pengunduran kumpulan daripada segmen penjagaan kesihatan.
Syarikat itu bagaimanapun tidak menjelaskan butiran lanjut mengenai operasi penjagaan kesihatan yang akan ditamatkan atau kesan kewangan daripada penamatan operasi tersebut.
Jentayu berkata, pihaknya akan membuat pengumuman lanjut sekiranya terdapat sebarang perkembangan baharu berkaitan cadangan pelupusan dan penamatan operasi berkenaan. - DagangNews.com








