Malakoff, TNB REMACO jalin kerjasama strategik penyelenggaraan stesen janakuasa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malakoff, TNB REMACO jalin kerjasama strategik penyelenggaraan stesen janakuasa

Kerjasama ini turut merangkumi usaha memperkukuh program latihan serta pembangunan kompetensi tenaga kerja teknikal bagi meningkatkan keupayaan operasi dalam sektor penjanaan tenaga negara
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Jun – Malakoff Technical Solutions Sdn Bhd (MTSSB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan TNB Repair and Maintenance Sdn Bhd (TNB REMACO) bagi meneroka kerjasama strategik dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) stesen janakuasa.

 

MTSSB adalah anak syarikat milik penuh Malakoff Corporation Berhad manakala TNB REMACO pula anak syarikat TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco).

 

Kerjasama ini turut merangkumi usaha memperkukuh program latihan serta pembangunan kompetensi tenaga kerja teknikal bagi meningkatkan keupayaan operasi dalam sektor penjanaan tenaga negara.

 

Selain itu, MoU tersebut juga membuka ruang kerjasama dalam mengenal pasti potensi pasaran MRO pihak ketiga yang akan memperluaskan lagi skop komersial kedua-dua organisasi melangkaui operasi sedia ada.

 

Sesi pertukaran MoU itu telah disempurnakan oleh Naib Presiden Kanan Bahagian Termal Malakoff, Mohd. Kopli Yunus dan Pengarah Urusan TNB REMACO, Ts. Abidin Sarjo.

 

Majlis tersebut diadakan bersempena Persidangan Peralihan Tenaga 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur yang menjadi platform penting pertemuan pemain industri tenaga negara.

 

Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Sri Abdul Rahman Mohamad.

 


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin berkata stesen janakuasa berprestasi tinggi adalah hasil daripada penyelenggaraan berdisiplin, tenaga kerja mahir serta penambahbaikan berterusan dalam operasi.

 

Menurut beliau, sebagai pengeluar kuasa bebas terbesar di Malaysia, Malakoff sentiasa menekankan pengurusan aset dan kecemerlangan teknikal bukan hanya untuk keuntungan jangka pendek, tetapi bagi memastikan kelestarian operasi jangka panjang.

 

“MoU bersama TNB REMACO merupakan lanjutan kepada komitmen tersebut dengan kedua-dua organisasi membawa pengalaman operasi berdekad lamanya dalam sektor tenaga negara.

 

“Kerjasama ini akan mewujudkan platform perkongsian pengetahuan, peningkatan keupayaan teknikal serta penetapan penanda aras baharu dalam aspek penyelenggaraan dan pengendalian stesen janakuasa di Malaysia,” katanya.

 

Pada masa yang sama, Syahrunizam berkata pihaknya melihat potensi komersial melalui penggabungan kekuatan kedua-dua pihak khususnya dalam merebut peluang perkhidmatan MRO bagi stesen janakuasa pihak ketiga.

 

Menurut beliau, langkah ini akan membuka ruang pertumbuhan baharu melangkaui operasi sedia ada dan memperkukuh kedudukan kedua-dua syarikat dalam pasaran serantau.

 

Bagi Malakoff, kerjasama ini turut menyokong strategi untuk mengoptimumkan prestasi rangkaian stesen janakuasa termal sedia ada serta melahirkan lebih ramai jurutera dan tenaga kerja teknikal mahir masa hadapan.

 

Syarikat itu turut menegaskan komitmennya terhadap bekalan tenaga yang stabil dan perkhidmatan mampan, selaras dengan agenda peralihan tenaga negara serta aspirasi “Enhancing Life, Enriching Communities”. - DagangNews.com