KUALA LUMPUR 5 Jun — Kenaikan kos pembinaan akibat tekanan inflasi global daripada konflik di Timur Tengah mula menimbulkan kebimbangan terhadap Lagenda Properties Berhad, menurut Phillip Capital.
Syarikat pemaju hartanah berkenaan jelas firma penyelidikan itu tidak terkecuali menerima kesan walaupun ia terus mencatat jualan kukuh dan rekod jualan belum dibilkan yang paling tinggi dalam sejarah.
Pengurusan kumpulan itu ujarnya, menganggarkan kos pembinaan naik hingga 2% susulan ketidaktentuan geopolitik semasa, manakala konflik berpanjangan berisiko menjejaskan jadual pelaksanaan projek.
"Walaupun berdepan cabaran, Lagenda Properties mengekalkan sasaran keuntungan teras tahun kewangan 2026 sebanyak RM260 juta selepas prestasi baik suku pertama," kata Phillip Capital dalam notanya.
Menurutnya, jualan disahkan naik 48% kepada RM372 juta berbanding RM252 juta dalam tempoh sama 2025, dipacu projek La Lumiere di Johor (RM116 juta) dan Lagenda Ardea di Selangor (RM36 juta).
Lebih menarik ujarnya, jualan belum dibilkan melonjak 86% kepada paras rekod RM1.7 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
Phillip Capital berkata, Lagenda Properties kini memiliki banyak projek yang agresif dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2 bilion dan dijadualkan dilancarkan pada separuh kedua 2026.

"Antara projek utama berkenaan termasuk pembangunan bandar baharu di Negeri Sembilan dengan GDV mencecah RM401 juta serta projek di Sungai Petani, Kedah bernilai RM291 juta," tambah firma itu.
Berdasarkan perkembangan tersebut, ia menjangkakan hasil kumpulan itu berpotensi meningkat 34% pada 2027 apabila projek-projek baharu memasuki fasa pengiktirafan pendapatan yang lebih matang.
Namun Phillip Capital menjangkakan margin keuntungan Lagenda Properties berdepan tekanan berikutan peningkatan perbelanjaan operasi yang kelazimannya berlaku pada peringkat awal pembangunan projek.
Pembentukan ekosistem pembangunan secara lengkap seperti berjaya diwujudkan kumpulan itu di Perak memerlukan masa sebelum dapat menyumbang kepada kecekapan operasi dan margin yang lebih baik.
"Dalam pada itu, pengurusan tidak menjangka isu pilihan raya akan memberi kesan material kepada projek-projek kumpulan kerana kebanyakan pembangunan berada pada tahap pelaksanaan," katanya.
Sehubungan itu, Phillip Capital mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Lagenda Properties dengan harga sasaran (TP) selama 12 bulan akan datang masih tidak berubah kepada RM1.54 sesaham.
Firma itu berpandangan rekod jualan belum dibilkan dan pelancaran projek yang stabil menyokong keterlihatan pendapatan, namun pihaknya mahu melihat bukti lebih jelas terhadap kemajuan kerja.
Antara risiko utama yang boleh mempengaruhi penilaian semula saham termasuk prestasi jualan hartanah lebih lemah daripada jangkaan, serta turun naik kos bahan binaan. - DagangNews.com








