Skip to main content

MAHB, Capital A capai kata sepakat gugur semua tindakan undang-undang 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Ogos - Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB), menerusi anak syarikatnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MAASB) dan Capital A Bhd. (sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Group Bhd.) memutuskan untuk menghentikan prosiding undang-undang antara semua pihak.

 

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood mengesahkan pihak-pihak berkaitan telah menggugurkan prosiding berkenaan. 

 

Menurutnya, tiada lagi sebarang prosiding undang-undang atau litigasi material daripada MAHB terhadap AirAsia Bhd. dan AirAsia X Bhd. 

 

"Kami percaya bahawa kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan dalam ekosistem penerbangan adalah kunci dalam mendorong kami ke arah pertumbuhan untuk kedua-dua industri dan negara. 

 

"Oleh itu, kami komited ke arah kerjasama untuk manfaat bersama dan kejayaan semua pihak berkepentingan dalam industri ini iaitu syarikat penerbangan, lapangan terbang, penumpang dan industri," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Dalam laporan media bertarikh 4 Oktober 2019, AirAsia dan AirAsia X memfailkan tuntutan RM479.78 juta terhadap MASSB,  berikutan kecuaian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Writ tuntutan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2 Oktober 2019.

 

Bagaimanapun, pada 3 Mac lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan AirAsia dan AirAsia X membayar caj perkhidmatan penumpang (PSC) sebanyak RM40.73 juta PSC dan RM792,381 bagi caj pembayaran lewat (LPC) yang belum dibayar kepada MASSB.

 

Mahkamah turut menolak tiga rayuan AirAsia terhadap penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonan syarikat penerbangan tambang rendah itu bagi membatalkan saman yang difailkan MASSB terhadap mereka.

 

Tuntutan MASSB terhadap AirAsia dan AirAsia X adalah untuk PSC yang tidak dibayar pada kadar yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) di bawah Peraturan-Peraturan Mavcom (Caj Perkhidmatan Penerbangan) 2016 yang dipinda pada 2017 dan 2018.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, AirAsia dan AirAsia X telah menarik balik semua prosiding undang-undang dan berharap dapat bekerjasama untuk masa depan yang lebih baik.

 

Katanya, sebagai dua pemain utama yang memacu ekosistem penerbangan, adalah lebih penting bagi MAHB dan syarikat penerbangannya, menunjukkan solidariti dalam menjadikan industri penerbangan Malaysia berdaya saing dan kembali memiliki daya tarikan.

 

"Kami sangat gembira kerana telah menemui titik persamaan untuk mencapai keputusan yang baik mengenai penyelesaian sebarang perkara tertunggak dengan MAHB, melalui dialog yang menyokong dan membina dalam semangat kerjasama.

 

"Ini memberi petanda baik untuk menyokong pemulihan pantas industri dan merangsang pertumbuhan pelancongan dan ekonomi Malaysia," katanya.

 

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada MAHB atas sokongan mereka menjadikan pengangkutan udara di klia2 bukan sahaja berpatutan kepada berjuta-juta penumpang setiap tahun tetapi juga dengan komitmen bersama untuk bekerjasama dalam perkhidmatan yang lebih baik bagi membina industri pelancongan yang lebih baik di Malaysia untuk masa depan. - DagangNews.com