Kadar inflasi Malaysia pada Ogos sebanyak 4.7% adalah antara paling rendah di dunia - Mustapa | DagangNews Skip to main content

Kadar inflasi Malaysia pada Ogos sebanyak 4.7% adalah antara paling rendah di dunia - Mustapa

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 23 Sept - Kadar inflasi Malaysia pada Ogos sebanyak 4.7% adalah antara yang paling rendah di dunia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato' Seri Mustapa Mohamed.

 

Ini dibandingkan dengan kadar inflasi pada bulan Ogos 2022 di Zon Euro adalah sebanyak 9.1%, Amerika Syarikat (8.3%), Thailand (7.9%), Filipina (6.3%) dan Republik Korea (5.7%).

 

"Kadar inflasi yang lebih rendah di Malaysia adalah hasil daripada langkah Kerajaan Keluarga Malaysia untuk menyediakan subsidi yang terbesar dalam sejarah negara," kata beliau.

 

BACA: Kadar inflasi Ogos 2022 di Malaysia kini 4.7%

 

Kerajaan kata Mustapa, melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi telah mengambil langkah dan inisiatif untuk membendung inflasi serta memastikan rakyat tidak terlalu terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

 

Antara langkah yang terkini diambil termasuklah:

a. Meneruskan kawalan harga ayam dan telur ayam serta pemberian subsidi penternakan yang dianggar sebanyak RM1.1 bilion;

b. Meneruskan kawalan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol 1 kg, 2 kg, 3 kg dan 5 kg secara harga siling bergerak berdasarkan harga minyak sawit mentah dunia;

c. Meneruskan kawalan harga bagi komoditi seperti beras dan gula putih bertapis walaupun harga komoditi tersebut serta harga gas asli merupakan antara faktor kos utama dalam input pengeluaran meningkat;

d. Meneruskan pemberian subsidi bahan api dan tenaga kepada produk petroleum iaitu RON95, diesel dan gas cecair asli dengan jumlah subsidi lebih RM31 bilion. Kerajaan turut memberi subsidi tarif elektrik sebanyak RM5.8 bilion bagi mengawal kenaikan tarif elektrik walaupun harga bahan api dan gas dunia meningkat;

e. Meneruskan subsidi minyak masak paket 1 kg pada kadar RM2.50 berbanding harga sebenar 1 kg sebanyak RM7 hingga RM9;

f. Memperluaskan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) kepada semua Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebanyak 512 DUN atau 80.1 peratus daripada 639 DUN telah bermula PJMKM semenjak pertengahan Ogos 2022. Keluarga Malaysia boleh mendapatkan barangan sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat. Harga yang murah ini adalah manfaat secara langsung subsidi harga melibatkan peruntukan RM100 juta;

g. Saluran berita tempatan di media elektronik akan terus meuar-uarkan mengenai PJMKM bagi membolehkan Keluarga Malaysia mendapat maklumat terkini mengenai premis, barangan jualan dan potongan harga yang ditawarkan;

h. Mengadakan program jualan murah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau PJMKM@Kampus. Program ini akan melibatkan kerjasama dengan koperasi universiti bagi membolehkan siswa mendapat barangan keperluan pada harga berpatutan.

 

 

tokpa
           Dato' Seri Mustapa Mohamed

 


Mustapa berkata, di samping itu, Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada memperkukuhkan sekuriti makanan negara.

 

"Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan melaksanakan kajian untuk mengenal pasti langkah-langkah quick wins dalam menangani isu dan cabaran sekuriti makanan negara.

 

"Kajian ini dijangka akan selesai dalam masa tiga bulan," jelas beliau.

 

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga sedang meneraju satu kajian untuk memperkukuhkan ekosistem sekuriti makanan negara jangka panjang secara menyeluruh merangkumi hala tuju untuk tempoh 10 tahun yang akan datang.

 

"Usaha yang diambil oleh Kerajaan sebelum ini telah mendapat hasil di mana harga bagi beberapa barangan makanan asas yang mengalami peningkatan harga yang tinggi sebelum ini, seperti minyak masak, ayam dan telur telah stabil.

 

"Kerajaan akan terus mengambil langkah untuk membendung inflasi, terutamanya melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi. Dengan langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan secara berterusan, keadaan inflasi negara secara keseluruhan adalah terkawal, kata Mustapa. - DagangNews.com