K-KOMM edar kad SIM percuma untuk golongan belia pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Selangor | DagangNews Skip to main content

K-KOMM edar kad SIM percuma untuk golongan belia pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Selangor

Golongan belia tidak melepaskan peluang mendapatkan kad SIM prabayar secara percuma di reruai K-KOMM di Jelajah AKM Selangor.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

SHAH ALAM 21 Ogos - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) mengedarkan kad SIM prabayar secara percuma kepada golongan belia menerusi Pakej Remaja Keluarga Malaysia sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) edisi Selangor di pekarangan Stadium Shah Alam, di sini.

 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Visual dan Seni Reka Jabatan Penerangan (JaPEN), Nor Azli Mohd Nor Azian berkata, inisiatif itu diberikan kepada belia yang berusia 13 hingga 21 tahun.

 

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 500 kad SIM percuma diedarkan sepanjang penganjuran AKM Selangor selama tiga hari, sejak kelmarin.

 

"Pakej Remaja Keluarga Malaysia dengan kerjasama syarikat-syarikat telco besar negara merupakan sebuah inisiatif bagi membantu golongan remaja dan pelajar memperoleh akses internet untuk pembelajaran dalam talian serta mempertingkatkan produktiviti.

 

"Selain membantu meringankan beban golongan belia untuk pembelian kad SIM, kami mahu memastikan mereka mempunyai akses internet dengan harga berpatutan.

 

"Setakat hari ini, sebanyak 300 kad SIM telah diedarkan kepada pengunjung khususnya kepada belia. Kad SIM itu juga telah disediakan isian data percuma sebanyak RM10.

 

"Untuk memperoleh kad SIM ini, mereka hanya perlu menunjukkan kad pengenalan dan mengisi borang ketika berkunjung di reruai K-KOMM," katanya ketika ditemui DagangNews, hari ini.

 

 

kkomm
Nor Azli Mohd Nor Azian

 

 

Menurut Nor Azli, selain pemberian kad SIM percuma, agensi di bawah K-KOMM seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut menawarkan peluang kepada golongan berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan tambahan secara digital menerusi program eRezeki pada Jelajah AKM Selangor.

 

"Program eRezeki membolehkan rakyat Malaysia menjana pendapatan tambahan dengan melaksanakan pelbagai jenis pekerjaan dan tugasan yang ditawarkan menerusi pelbagai platform digital berasaskan ekonomi gig atau perkongsian," katanya.

 

 

kkomm
Pelakon tempatan, Pekin Ibrahim turut memeriahkan reruai K-KOMM dengan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung di Jelajah AKM Selangor.

 

 

Selain JaPEN dan MDEC, agensi di bawah K-KOMM yang menyertai pameran Jelajah AKM Selangor sepanjang tiga hari, termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Malaysia Network Information Centre Berhad (MYNIC) dan CyberSecurity Malaysia (CSM). - DagangNews.com