Para ulama mempelajari adab lebih lama berbanding belajar ilmu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 12 January 2024

Para ulama mempelajari adab lebih lama berbanding belajar ilmu

 

 

 

UNGKAPAN bahasa Arab ‘al-adab qabla al-‘ilmi’ yang bermaksud ‘adab sebelum ilmu’ adalah sudah menjadi kelaziman dan kebiasaan terdengar dalam kalangan para pelajar dari peringkat rendah hinggalah tinggi terutamanya pelajar bidang agama.

 

Adab adalah sangat penting dan perlu lebih diutamakan sebelum seseorang mempelajari sesuatu ilmu. Tidak bererti sekiranya seseorang memiliki ilmu yang hebat dan tinggi, namun tidak memiliki adab dan akhlak yang baik sesama manusia.

 

Bahkan, ilmu seseorang itu akan menjadi sia-sia dan tiada nilai sekiranya tidak memberi kesan ke atas pembentukan peribadi dan tingkah laku dalam kehidupan seharian.

 

Para ulama sangat memberi perhatian terhadap persoalan adab dan akhlak, sehingga mengarahkan penuntut ilmu mempelajari adab terlebih dahulu sebelum mempelajari sesuatu bidang ilmu.

 

Ilmu dan adab itu sebenarnya tidak boleh dipisahkan dan hendaklah saling  melengkapi di antara satu sama lain. Semakin tinggi ilmu seseorang itu, semakin tinggilah adab dan akhlaknya kepada orang lain.

 

Bak kata pepatah, “Bawa resmi padi, makin berisi makin tunduk” ialah makin banyak ilmu atau makin tinggi pangkat makin merendah diri dan tidak sombong. Bandingan terhadap buah padi, makin berisi makin rendah, bukannya seperti lalang, makin lama makin tinggi.


 

parafrasa

 


Selain itu, semakin tinggi adab dan akhlak seseorang pula, maka makin tinggilah darjat di sisi Allah SWT nanti berbanding dengan golongan yang hanya memiliki ilmu tetapi buruk adab dan akhlak.

 

Abdullah bin al-Mubarak pernah menyatakan: “Kami mempelajari adab selama 30 tahun, sedangkan kami mempelajari ilmu selama 20 tahun. Kita dengan (mempelajari walau) sedikit ilmu adab itu lebih diperlukan (diutamakan) dari hanya memperbanyakkan ilmu (agama).”

 

Selain itu, Imam Malik bin Anas guru kepada Imam Syafie pernah menasihati seorang lelaki dari bangsa Quraisy dengan ungkapan: “Wahai anak saudaraku, belajarlah (ilmu) adab sebelum kamu mempelajari ilmu (agama).”

 

Seterusnya, Imam al-Zahabi dalam kitabnya berjudul ‘Siyar A‘lam al-Nubala’ menukilkan bahawa Abdullah bin Wahab berkata: “Kami nukil dari Imam Malik lebih banyak dalam hal adab dibanding ilmunya.”

 

Al-Zarnuji dalam kitabnya bertajuk ‘Ta’lim al-Muta’allim’ juga menguatkan kepentingan menjaga adab, khususnya terhadap guru dengan menyatakan: “Ketahuilah, seorang murid tidak akan memperoleh ilmu dan tidak akan dapat ilmu yang bermanfaat, kecuali mahu mengagungkan ilmu, ahli ilmu, dan menghormati guru.”

 

Imam Malik juga pernah berkata: “Dulu ibuku menyuruhku untuk duduk menuntut dalam majlis Rabi‘ah Ibnu Abi ‘Abdirrahman iaitu seorang ‘faqih’ di kota Madinah pada zamannya. Lalu ibuku berkata: “Pelajarilah adab darinya sebelum mengambil ilmunya.”

 

Imam Abu Hanifah lebih suka mempelajari kisah-kisah para ulama berbanding menguasai bab fiqh kerana boleh banyak mempelajari adab. Imam Abu Hanifah berkata: “Kisah-kisah para ulama dan duduk bersama mereka lebih aku sukai daripada menguasai beberapa bab fiqih kerana dalam kisah mereka diajarkan pelbagai adab dan akhlak yang luhur.”


 

parafrasa

 


Adab dan akhlak yang baik menjadi salah satu syarat untuk mendapatkan keberkatan ilmu. Menurut Imam al-Ghazali, keberkatan bermaksud ‘ziyadah al-khair’ iaitu bertambah nilai kebaikan.

 

Ilmu yang berkat bermaksud ilmu yang memberikan nilai manfaat dan kebaikan, antara tandanya adalah ilmu tersebut diamalkan dan bermanfaat untuk diri sendiri dan orang lain serta mendatangkan kebaikan.

 

Adab juga merupakan cerminan dan refleksi dari baik atau buruk akhlak seseorang selari dengan tugas dan misi utama pengutusan Nabi SAW untuk membimbing akhlak manusia.

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Ahmad).

 

Mendidik adab memerlukan suatu proses waktu yang panjang, komitmen dan konsistensi yang baik. Para ulama mempelajari adab lebih lama berbanding mempelajari ilmu.

 

Perlu disedari juga bahawa faktor yang mempengaruhi didikan adab dan akhlak adalah bergantung kepada suasana persekitaran sama ada keluarga, institusi pendidikan ataupun masyarakat.

 

Setelah segala usaha dan ikhtiar dilakukan untuk menjadikan pelajar beradab dan berakhlak, maka yang terakhir adalah berdoa kepada Allah SWT sebagai senjata terakhir untuk mengetuk dan mengharap rahmat Allah SWT.


 

parafrasa

 


Justeru, menitik beratkan soal adab dalam mempelajari ilmu, mahupun mengajarkan adab kepada orang lain adalah sangat penting dan utama yang perlu difahami oleh setiap pelajar.

 

Orang yang tinggi adab terhadap orang lain, walaupun tidak mempunyai ilmu yang banyak adalah orang yang lebih baik dan mulia berbanding orang yang mempunyai banyak ilmu tetapi adapnya kurang. - DagangNews.com

 

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags