Kelebihan dan keistimewaan melaksanakan jihad | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 22 December 2023

Kelebihan dan keistimewaan melaksanakan jihad

 

 

 

PERKATAAN jihad daripada sudut bahasa adalah masdar kepada ‘jahada’, ‘yujahidu’, ‘jihadan’ dan ‘mujahadatan’. Jihad berasal daripada perkataan ‘jahada’, ‘yajhadu’, dan ‘jahdan’.

 

Huraian di dalam 'Mu’jam al-Mufahras li Alfaz al-Qur’an al-Karim' mengemukakan contoh, ‘seseorang itu bersungguh-sungguh melakukan sesuatu’ dan ‘seorang lelaki membebankan binatangnya dengan barang yang di luar kemampuan binatang itu’.

 

Kemudian, dalam Mu’jam tersebut menyebutkan lagi ‘al-jahdu’ iaitu baris atas pada huruf ‘jim’ adalah kata nama dan ‘al-juhdu’ iaitu baris dhommah pada huruf ‘jim’ adalah sebutan bahasa. Jihad dan mujahadah bererti mencurahkan tenaga bagi menentang musuh.

 

Jihad menurut istilah syariat Islam ialah berusaha gigih untuk menegakkan sebuah masyarakat Islam dan meletakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi, seterusnya membawa syariat Allah untuk memimpin seluruh alam.

 

 

al-aqsa

 

 

Terdapat pelbagai keistimewaan dan kelebihan melaksanakan jihad di jalan Allah SWT seperti yang telah dianjurkan oleh Islam untuk memberikan kekuatan semangat dan motivasi kepada setiap muslim.

 

1. Jihad dengan harta dan diri akan diberikan ganjaran pahala besar

Ganjaran tersebut akan dianugerahkan kepada golongan yang bersedia melaksanakan seruan jihad.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kalian Aku tunjukkan kepada kalian sesuatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kalian daripada azab yang pedih?. (Iaitu) kalian beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad pada jalan Allah dengan harta dan jiwa kalian. Itulah yang lebih baik bagi kalian, jika kalian mengetahui. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kalian dan memasukkan kalian ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dan (memasukkan kalian) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar. Dan (ada lagi) kurniaan lain yang kalian sukai (iaitu) pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang dekat (waktunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (Surah al-Saff: 10-13)

 

2. Seruan kepada semua

Seruan kepada semua lapisan umat supaya bangkit berjihad dengan harta dan jiwa raga, sama ada golongan muda dan tua, senang dan susah mengikut kemampuan masing-masing termasuklah dengan berdoa kepada-Nya.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Berangkat pergilah kalian secara beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dalam keadaan merasa ringan (dan mudah bergerak) mahupun dalam keadaan merasa berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kalian pada jalan Allah (untuk membela Islam). Demikian itu, amatlah baik bagi kalian, jika kalian mengetahui.” (Surah al-Taubah: 41)

 

3. Yang tidak berjihad

Golongan yang tidak berjihad pada hakikatnya hanyalah membinasakan diri sendiri apabila diperhambakan oleh musuh.

 

Namun fahaman golongan yang memetik sebahagian daripada ayat al-Quran mengatakan bahawa jihad itu membinasakan diri sendiri, lalu menyelamatkan diri dengan tidak berjihad pada jalan Allah.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta yang ada pada kalian) pada jalan Allah, dan janganlah kalian sengaja mencampakkan diri kalian ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan berbuatlah baik; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.” (Surah al-Baqarah: 195)

 

 

al-aqsa

 

 

4. Pahala berlipat ganda

Allah SWT menjanjikan pahala berlipat kali ganda kepada mereka yang memberikan sumbangan jihad sehingga mengatasi pahala sedekah dan sumbangan kebajikan yang lain.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Perumpamaan (infaq) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, adalah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah: 261)

 

5. Kemuliaan

Allah SWT menjanjikan bahawa agama Islam akan tetap dipelihara dan golongan yang berusaha menegakkannya diberikan kemuliaan di dunia dan di akhirat. Sebaliknya, golongan yang mengecewakan akan dihina di dunia dan juga di akhirat.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Ingatlah), kalian ini adalah orang-orang yang diajak supaya menderma dan membelanjakan sedikit daripada harta benda kalian pada jalan Allah, maka ada antara kalian yang berlaku bakhil, padahal sesiapa yang berlaku bakhil maka sesungguhnya dia hanyalah berlaku bakhil kepada dirinya sendiri. Dan (ingatlah) Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu apapun), sedang kalian semua ialah orang-orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal). Dan jika kalian berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berderma), nescaya Dia akan menggantikan kalian dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kalian.” (Surah Muhammad: 38)

 

 

parafrasa

 

 

Demikianlah, keistimewaan dan kelebihan kepada golongan yang berjihad seperti diperincikan dalam al-Quran sebagai motivasi dan semangat kepada masyarakat Islam agar berterusan melaksanakan jihad dalam kehidupan. - DagangNews.com

 

PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
 

 

dagangnews

 

Portfolio Tags