Setimpalkah kualiti tenaga buruh berbanding tuntutan naik gaji ? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Infiniti - 1 March 2024

Setimpalkah kualiti tenaga buruh berbanding tuntutan naik gaji ?

 

 

 

KERAJAAN disaran memperhebatkan pembangunan modal insan berikutan kualiti tenaga kerja di Malaysia semakin merosot dan tidak menepati kemahiran yang diperlukan pihak industri. Ini adalah satu kaedah terbaik untuk memenuhi tuntutan kadar kenaikan gaji yang dituntut oleh berbagai sektor pekerjaan.

 

Malaysia masih berdepan dua cabaran besar guna tenaga iaitu kualiti pekerjaan dan kualiti ganjaran kepada pekerja meskipun kadar pengangguran kini sudah menurun. Pelabur juga mengeluh bahawa pekerja baru kekurangan kapasiti menganalisis dan menyelesaikan masalah.

 

Kelemahan penguasaan bahasa dan tiada kemahiran membina rangkaian sosial menghalang penggunaan teknologi terkini dan proses kerja berpasukan moden untuk aktiviti-aktiviti tambah nilai tinggi.

 

Tanpa jumlah tenaga kerja berkemahiran seiring dengan perkembangan industri dalam jumlah yang besar, Malaysia menghadapi risiko menjunam ke arah sebuah negara yang sederhana kualiti tenaga kerjanya. Dari 16.2 juta orang yang berkerja, hampir 1.9 juta pekerja dianggap 'underemployed by skill', iaitu pekerja yang mempunyai kelulusan tertiari tetapi bekerja dalam pekerjaan yang tidak setanding dengan kelulusan mereka.

 

Saban tahun, jumlah pekerja yang tidak dapat memanfaatkan kelulusan pendidikan mereka semakin meningkat walaupun kadar pengangguran dikatakan menurun.Trend yang semakin membarah ini mesti ditangani segera. Satu kerugian kepada negara dan pekerja apabila pencapaian pendidikan tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

 

Ini menunjukkan pelaburan yang dibuat melalui belanjawan untuk mengarap tenaga kerja melalui pendidikan kurang membuahkan hasil. Lebih merunsingkan ialah dalam masa yang sama, hanya 28 peratus dari pekerja Malaysia dikategorikan sebagai pekerja mahir, 60 peratus pekerja separa mahir dan 12 peratus pekerja berkemahiran rendah.

 

Bagi menghadapi masa depan yang serba mencabar ini, Malaysia sebagai negara maju memerlukan pekerja mahir yang lebih ramai. Gaji dan upah kepada pekerja kini adalah antara ukuran pendapatan yang penting bagi menilai manfaat kepada pekerja.

 

Komitmen kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia adalah usaha yang tepat dan kita alu-alukan. Tetapi strategi ini perlu seiring dengan usaha untuk meningkatkan kualiti tenaga kerja di industri. Semua pihak harus memikirkan secara bersama apakah yang mengekang kenaikan gaji dan upah. Letak sasaran, bentuk strategi yang berkesan, laksanakan dan laporkan pencapaian.

 

Kualiti tenaga kerja yang berkualiti adalah datang dari sebuah anjakan pemikiran yang kreatif dan ini seharusnya menjadi pemangkin Malaysia Madani. Apakah ertinya seruan Malaysia Madani ini kepada pekerja yang masih berada pada tahap kualiti pemikiran yang tidak berubah?

 

Jika kita amati prinsip kesejahteraan, hormat dan ihsan adalah antara enam rukun Malaysia Madani. Ini sepatutnya dilihat sebagai satu usaha bersama untuk mengangkat martabat pekerja, dengan peningkatan kualiti pekerjaan dan ganjaran bekerja kearah lebih berkualiti. Kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan serta peningkatan keupayaan untuk berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup amat bergantung kepada pendapatan seiring dengan kualiti kerja.

 

Pengupayaan teras utama iaitu pembaharuan radikal sistem pendidikan, dari peringkat sekolah rendah hingga pengajian tinggi sudah dikenal pasti dan langkah perlu diambil segera bagi memberi hasil yang diidamkan.

 

Usaha ini menunjukkan bahawa usaha dari kerajaan sahaja tidak semestinya membuahkan penyelesaian terbaik. Malaysia memerlukan program pembaharuan menyeluruh berbanding tindakan bertampalan dan tidak bersambung,yang boleh diibaratkan seperti menampal lubang di jalan raya.

 

Reformasi dalam sistem pendidikan mesti bergerak melampaui "tahap membina negara" ke tahap menyediakan kemahiran untuk bersaing di pasaran antarabangsa dan global.

 

Selain dari itu, dari segi segmen tranformasi minda tenaga kerja pula perlu merangkumi ramalan pasaran buruh dan program soal selidik, menambah kemahiran dan meningkatkan tenaga kerja iaitu dengan menetapkan strategi keseluruhan untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan menyeragamkan pensijilan pekerja separa mahir ke mahir selain memanfaatkan bakat wanita untuk meningkatkan produktiviti.

 

Di Malaysia ketika ini, tiada sumber maklumat menyeluruh dan sehenti yang diterima pakai mengenai struktur pasaran buruh, peluang dan potensi untuk jurang maklumat disepadukan.

 

Sekiranya ini dapat dipertingkat, ia akan membentuk asas ramalan lengkap permintaan tenaga kerja untuk setiap sub-sektor industri dan ramalan ini akan memenuhi keperluan semasa dan pada masa akan datang ketika negara meningkat ke rantaian nilai yang lebih tinggi.

 

Langkah meningkatkan kadar gaji sebenarnya perlu berpaksi memfokuskan untuk meninggikan kemahiran.Keutamaan terhadap latihan dan peningkatan kemahiran tenaga kerja perlu diberi kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan lapisan buruh tidak mahir dan separa mahir pula kemungkinan besar tidak wujud hasil transformasi struktur ekonomi Malaysia. - DagangNews.com

 

Afizan Amer adalah Pensyarah Kanan Pemasaran Digital, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Kampus Rembau , Universiti Teknologi Mara N.Sembilan.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INFINITI

 

dagangnews

 

 

 

Portfolio Tags