Final MEC: 22 pasukan berentap rebut RM100,000 | DagangNews Skip to main content

Final MEC: 22 pasukan berentap rebut RM100,000

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Jan - Sebanyak 22 pasukan dan empat pemain akan berentap di peringkat akhir kejohanan Malaysia Esports Championship 2021/2022 (MEC) bagi merebut hadiah wang tunai terkumpul bernilai RM100,000.

 

Penganjur memaklumkan, perlawanan tersebut akan berlangsung secara dalam talian dan offline di pusat beli-belah KL Gateway pada Sabtu dan Ahad ini. 


Katanya, ia melibatkan perlawanan FIFA 22, DOTA 2, Mobile Legends, Bang Bang dan PUBG Mobile.


"Ini merupakan edisi kedua MEC dan menjadi sebahagian daripada pelbagai inisiatif kejohanan offline di bawah naungan Esports Integrated untuk menjadi pemangkin pembangunan komuniti sukan elektronik (e-Sukan) dan ‘gaming' tempatan," menurut kenyataan tersebut hari ini.


Tambah kenyataan itu, hanya jemputan sahaja boleh menyaksikan acara itu, berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).


Kejohanan tersebut akan dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Ahad ini.


Peminat tegar e-Sukan seluruh negara yang ingin mengikuti kejohanan ini boleh menyaksikan siaran secara langsung di Facebook rasmi Esports Integrated. - DagangNews.com