KUALA LUMPUR 18 Nov - Kerajaan Malaysia puas hati dengan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Daerah The Hague, Belanda yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 17 Julai 2014.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan kes jenayah di Belanda ini menjadi satu tanda aras yang penting dalam usaha untuk mencari kebenaran serta menegakkan keadilan kepada kesemua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi penerbangan tersebut serta kepada semua waris mangsa.
"Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab.
"Dalam hubungan ini, Malaysia menyokong keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah The Hague pada hari ini.
"Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus yang dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda, berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang telah lama dinanti-nantikan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca : MH17: Dua warga Rusia, seorang warga Ukraine dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup
Menurut Perdana Menteri, Malaysia mewakili semua pihak yang terkesan akibat peristiwa yang amat meruntun hati ini, ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Pasukan Penyiasat Bersama (Joint Investigation Team-JIT) yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang telah bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan jenayah antarabangsa terhadap tragedi MH17.
"Malaysia sekali lagi ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17.
"Walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka mahupun mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga dan orang tersayang, keputusan mahkamah pada hari ini diharap sedikit sebanyak akan dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga dan waris kepada mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini," katanya.
Terdahulu, tiga orang tertuduh, Igor Girkin, Sergey Dubinskiy dan Leonid Kharchenko telah menyebabkan kesemua 298 penumpang pesawat MH17, termasuk krunya terbunuh.
Manakala, mahkamah telah membebaskan Oleg Pulatov kerana tidak mempunyai bukti kukuh dalam sabitan kesalahan tersebut. - DagangNews.com








