Projek taman tema baharu di Tanjung Tualang pacu pelaburan, ekonomi Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Projek taman tema baharu di Tanjung Tualang pacu pelaburan, ekonomi Perak

Taman tema di Tanjung Tualang, Perak akan dibangunkan mengikut konsep ESCAPE di Pulau Pinang.
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 17 Feb - Projek pembangunan taman tema baharu di Tanjung Tualang dekat Batu Gajah, Perak dilihat sebagai inisiatif pembiayaan swasta (PFI) yang lebih banyak membawa pelaburan modal dan mencipta aktiviti ekonomi negeri.

 

Justeru, ia tidak perlu terlalu digusarkan kerana pelaburan kerajaan negeri hanya terhad pada fasiliti seperti tanah yang risikonya lebih rendah dan ia boleh digunakan semula. 

 

Selain itu, tiada kegiatan ekonomi semasa yang menggunakan kawasan tersebut. 

 

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, situasi ini dilihat berbeza dengan projek Movie Animation Park Studio (MAPS) di Meru, di sini.

 

Menurut beliau, MAPS dahulu merupakan pelaburan tunai langsung sebelum menerima kesan besar apabila negara dilanda situasi pandemik yang melumpuhkan sektor pelancongan.

 

"Apa yang pasti, projek taman tema baharu ini bakal mewujudkan kegiatan ekonomi dan menjadi pemangkin kepada industri pelancongan negeri.

 

"Ia juga boleh menyumbang pada ekosistem perusahaan kecil dan sederhana yang turut menyokong sektor pelancongan tempatan.

 

 

tema
Muzium kapal korek TT5 dimajukan sebagai lokasi pelancongan sejak lima tahun lalu.

 

 

"Sehingga sewaktu pembinaan berlaku, mungkin memakan masa beberapa tahun, jadi kegiatan ekonomi sudah pun aktif dan giat terutamanya dalam industri pembinaan, makanan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada orang tempatan," ujarnya ketika dihubungi DagangNews hari ini.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kebimbangan umum mengenai projek taman tema tersebut yang dibandingkan dengan MAPS.

 

MAPS dengan kos RM520 juta merupakan projek usaha sama Perbadanan Perak Berhad (PCB) dan Kumpulan Sanderson.

 

 

tema
TT5 juga diisytiharkan sebagai tapak warisan perlombongan bijih timah.

 

 

Hayat MAPS bagaimanapun tidak panjang apabila terpaksa ditutup pada Januari 2020 setelah hampir tiga tahun beroperasi.

 

Media sebelum ini melaporkan, anak syarikat milik penuh Tafi Industries Bhd, TAFI Home & Office Sdn Bhd dianugerahkan kontrak oleh TT5 Theme Assets Sdn Bhd.

 

Ia bagi membina, menguji dan memasang, menyiap serta menyerahkan kerja taman tema ini dengan kos RM11 juta di lokasi TT5 iaitu bekas kapal korek yang kini dijadikan muzium.

 

 

tema
Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid

 

 

Taman tema yang akan dibina di atas tanah seluas 146 ekar itu adalah taman tema sukan lasak seperti ESCAPE di Pulau Pinang.

 

Semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang dibangunkan itu dilaksanakan menerusi PFI tidak melibatkan wang kerajaan negeri.

 

Beliau berkata, taman tema berkenaan dibina bertujuan menjana pendapatan untuk kerja-kerja penyelenggaraan bagi memulihara Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5).

 

Taman tema itu dibina di atas tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang juga akan menguruskan lokasi tersebut apabila siap kelak. - DagangNews.com